Liga Juara Eropah: Bayern Munich mara ke separuh akhir

Pemain Bayern Munich meraikan kemenangan / AFP

MUNICH, 15 April- Gol lewat permainan dijaringkan Luis Diaz dan Michael Olise, memastikan kemenangan dramatik, 4-3 buat Bayern Munich ke atas Real Madrid dalam aksi timbal balik peringkat suku akhir Liga Juara Eropah, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bayern mara ke separuh akhir dengan agregat 6-4 dan akan berdepan juara bertahan Paris Saint-Germain.
  • Real Madrid membuka jaringan selepas 34 saat melalui Arda Guler susulan kesilapan penjaga gol Manuel Neuer.
  • Eduardo Camavinga dilayangkan kad merah pada penghujung perlawanan, memberi kelebihan kepada Bayern.

Kemenangan itu membolehkan Bayern mara ke separuh akhir dengan agregat 6-4 dan bakal berdepan juara bertahan, Paris Saint-Germain (PSG).

Perlawanan berlangsung sengit apabila Real Madrid terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah seawal 34 saat selepas Arda Guler menemui jaringan hasil kesilapan penjaga gol, Manuel Neuer.

Tersentak dengan jaringan itu, Bayern bangkit menyamakan kedudukan apabila Aleksandar Pavlovic menanduk masuk gol penyamaan sebelum Guler sekali lagi meletakkan pelawat di depan menerusi sepakan percuma.

Harry Kane kemudian mengembalikan kelebihan Bayern dalam agregat pada minit ke-38, namun Kylian Mbappe memastikan kedudukan kembali seimbang menjelang tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, kedua-dua pasukan terus mengasak, namun kelebihan memihak kepada Bayern selepas Eduardo Camavinga dilayangkan kad merah pada penghujung permainan.

Kesempatan itu digunakan sebaiknya tuan rumah apabila Luis Diaz meledak gol dari luar kotak penalti sebelum Olise melengkapkan kemenangan menerusi rembatan lencong menarik pada masa kecederaan.