Qabil manfaat aksi Eropah kekal kompetitif

FOTO IG qabilirfan_04

KUALA LUMPUR, 16 April – Pelumba motosikal muda negara, Qabil Irfan Azlan melihat penangguhan Pusingan 2 Kejuaraan Moto4 Asia Talent Cup di Qatar sebagai peluang terbaik untuk terus mengekalkan rentak kompetitif di pentas antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendedahan berlumba di Eropah mematangkan gaya tunggangan dan meningkatkan keyakinan untuk bersaing dengan kelompok elit seusia.
  • Qabil akan memulakan cabaran bersama MLav Junior Team di Circuit de Barcelona-Catalunya, 22 hingga 24 Mei.
  • Pelancaran Brooks Running di Sunway Pyramid kukuhkan misi komuniti larian, lengkap dengan Brooks Experiential Zone dan rangkaian peralatan prestasi.

Penjadualan semula perlumbaan itu ke November nyata tidak merencatkan perancangannya, sebaliknya membuka ruang buat pelumba berusia 14 tahun itu mengasah kemampuan dalam suasana perlumbaan lebih mencabar.

Berbekalkan pendedahan di Eropah, Qabil yakin pengalaman yang diraih mampu mematangkan corak tunggangannya, selain meningkatkan keyakinan untuk bersaing dengan kelompok elit seusianya.

Pelumba kelahiran Kuala Terengganu itu dijadual memulakan cabaran bersama MLav Junior Team di Circuit de Barcelona-Catalunya dari 22 hingga 24 Mei ini, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kariernya di Eropah.

“Bagi saya, tiada isu besar berkaitan momentum kerana saya masih berlumba di Eropah. Ia membantu saya kekal dalam rentak perlumbaan.

“Saya mahu gunakan peluang ini untuk menimba pengalaman dan memberi saingan sengit kepada pelumba Eropah yang sememangnya memiliki tahap persaingan tinggi.

“Jika diberi peluang, saya mahu buktikan kemampuan walaupun sedar cabaran di sana bukan mudah,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran cawangan baharu jenama sukan dari Amerika Syarikat, Brooks Running di sebuah pusat beli-belah di ibu negara, baru-baru ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri beberapa lagi atlet kebangsaan termasuk badang negara, Mohamad Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin selain atlet berbasikal trek Muhammad Fadhil Mohd Zonis, Nur Aisyah Mohamad Zubir serta Anis Amira Rosidi.

Atlet Muay Thai Amisha Azril serta pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin turut memeriahkan acara.

Majlis dimulakan dengan ucapan oleh Pengarah Urusan Paragon Vest Sdn Bhd Tiew Cheng Tai, diikuti pelancaran rasmi bersama tetamu kehormat daripada barisan kepimpinan Sunway Malls.

Pelancaran itu melambangkan satu lagi pencapaian penting dalam pengembangan Brooks Running di Malaysia serta komitmen berterusan jenama tersebut dalam menginspirasikan pelari daripada pelbagai peringkat.

Para tetamu turut berpeluang merasai Brooks Experiential Zone yang interaktif, termasuk menyertai pelbagai aktiviti seperti menghasilkan hiasan beg mengikut citarasa sendiri.

“Kedai ini bukan sekadar ruang runcit, sebaliknya menjadi hab kepada komuniti pelari. Kami teruja untuk mendekatkan Brooks dengan pelari di Malaysia serta menyediakan kasut dan pakaian prestasi terbaik untuk mereka,” katanya.

Terletak di antara destinasi beli-belah utama negara, stor Brooks di Sunway Pyramid menawarkan rangkaian lengkap kelengkapan larian yang direka untuk membantu pelari mencapai prestasi terbaik, sama ada bagi yang baru bermula mahupun atlet berpengalaman.

Majlis diakhiri dengan sesi ramah mesra yang menghubungkan atlet, media serta komuniti kecergasan, sekali gus memperkukuh misi Brooks untuk menggalakkan semua orang terus berlari dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Qabil Irfan Azlan ditemui media pada majlis pelancaran cawangan baharu jenama dari Amerika Syarikat, Brooks Running