Sultan Selangor batal penganjuran TSSC 2026

The Sultan of Selangor’s Cup 2026 dibatalkan

KUALA LUMPUR, 15 April – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan membatalkan penganjuran perlawanan bola sepak The Sultan of Selangor’s Cup (TSSC) 2026 yang dijadual berlangsung di Stadium Merdeka pada 7 November depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan dibuat susulan keadaan ekonomi global mencabar akibat pergolakan di Asia Barat yang memberi impak kepada negara.
  • Pengurus pasukan, Tan Sri Abd Karim Munisar, mengumumkan keputusan melalui kenyataan rasmi dan mengucapkan terima kasih atas sokongan serta kerjasama.
  • TSSC ialah perlawanan persahabatan tahunan antara pilihan Selangor dan Singapura sejak 2001, bertujuan menghidupkan nostalgia persaingan bola sepak lama.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pengerusi merangkap Pengurus Pasukan TSSC 2026, Tan Sri Abd Karim Munisar, hari ini, keputusan itu dibuat susulan keadaan ekonomi global yang mencabar, berpunca daripada pergolakan di Asia Barat yang turut memberi kesan kepada negara.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan, komitmen serta kerjasama yang telah diberikan,” menurut kenyataan itu.

The Sultan of Selangor’s Cup merupakan perlawanan persahabatan tahunan yang menemukan pasukan pilihan Selangor dan pilihan Singapura sejak diperkenalkan pada tahun 2001.

Penganjuran kejohanan itu bertujuan menghidupkan kembali nostalgia perseteruan bola sepak antara kedua-dua pasukan yang pernah mewarnai saingan Piala Malaysia suatu ketika dahulu.