Kejohanan RSGC 2026 perkukuh laluan bakat golf remaja ke pentas antarabangsa

Kejohanan RSGC 2026 perkukuh laluan bakat golf remaja ke pentas antarabangsa

KUALA LUMPUR, 15 April – Kejohanan Golf Jemputan Remaja Kelab Golf Diraja Selangor (RSGC) 2026 kini dilihat bukan lagi sekadar platform pembangunan, sebaliknya menjadi laluan penting buat pemain remaja negara menembusi saingan antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama strategik dengan Persatuan Golf Malaysia menjadikan kejohanan asas pemilihan ke program elit pembangunan negara.
  • Pemenang tahun lalu beraksi di Thailand Youth Open dan menamatkan saingan dalam kelompok 10 terbaik.
  • Respons pendaftaran meningkat pesat dengan 50 penyertaan dalam dua hingga tiga minggu pertama.
  • Edisi ke-11 menghimpunkan 95 pemain dari 13 negara termasuk Jepun, Korea Selatan dan Australia.

Perkembangan itu diperkukuh menerusi kerjasama strategik bersama Persatuan Golf Malaysia (MGA) yang menjadikan kejohanan berkenaan sebagai antara asas pemilihan ke program elit pembangunan golf negara.

Pengerusi Pengajur Golf RSGC, Ezani Datuk Abu Bakar, berkata tarikan utama kejohanan itu bukan sahaja terletak pada aspek persaingan, tetapi juga peluang sebenar untuk pemain muda melangkah lebih jauh dalam karier mereka.

“Pemenang tahun lalu berpeluang beraksi di Thailand Youth Open dan berjaya menamatkan saingan dalam kelompok 10 terbaik. Ini membuktikan kejohanan ini mampu membuka laluan ke pentas lebih besar,” katanya

Beliau berkata demikian selepas sidang media Kejohanan Jemputan Golf Remaja RSGC 2026 di sini, hari ini.

Menurutnya, impak tersebut jelas apabila sambutan bagi edisi ke-11 kali ini meningkat ketara, dengan 50 penyertaan diterima dalam tempoh dua hingga tiga minggu pertama pendaftaran.

“Berbanding tahun lalu, kita perlu bekerja lebih keras untuk menarik penyertaan, namun kali ini respons sangat menggalakkan,” katanya lagi.

Pada edisi kali ini, kejohanan itu akan menghimpunkan seramai 95 pemain dari 13 negara termasuk Jepun, Korea Selatan dan Australia, sekali gus meningkatkan tahap saingan serta pendedahan antarabangsa kepada pemain tempatan.

Beliau berharap platform seperti ini dapat terus melahirkan pemain yang bukan sahaja kompetitif, malah bersedia menggalas cabaran di peringkat lebih tinggi pada masa hadapan.