
PARIS, 9 April – Juara bertahan, Paris Saint-Germain (PSG) membawa bekalan selesa ke Anfield selepas mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Liverpool dalam perlawanan suku akhir pertama Liga Juara Eropah pada Rabu.
- Desire Doue dan Khvicha Kvaratskhelia menjaringkan gol pada minit ke-11 dan ke-65, memastikan PSG mengawal rentak permainan.
- PSG menguasai permainan dengan 70 peratus penguasaan bola pada separuh masa pertama dan melancarkan asakan bertali arus.
- Liverpool gagal dengan taktikal tiga pertahanan tengah; Mohamed Salah diletakkan di bangku simpanan, rekod kemenangan kian merosot.
Gol daripada Desire Doue dan Khvicha Kvaratskhelia memastikan penguasaan mutlak kelab Perancis itu, sekali gus memberi kelebihan besar menjelang aksi timbal balik minggu hadapan.
Tuan rumah tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila rembatan Doue pada minit ke-11 terbias pada pertahanan lawan, Ryan Gravenberch, sebelum melambung melepasi jangkauan penjaga gol Liverpool, Giorgi Mamardashvili.
Kvaratskhelia kemudian mengukuhkan kedudukan pada minit ke-65 selepas tenang memperdayakan Mamardashvili untuk gol kedua, dalam perlawanan yang menyaksikan PSG mengawal rentak permainan dari awal hingga tamat.
“Saya rasa kami mempunyai peluang untuk menjaringkan lebih banyak gol, namun 2-0 adalah keputusan yang baik.
“Kami perlu kekal fokus kerana akan bermain di Anfield dalam suasana yang hebat nanti,” kata Kvaratskhelia kepada penyiar Canal Plus.
Liverpool, di bawah kendalian Arne Slot, tampil dengan taktikal luar biasa menggunakan tiga pertahanan tengah, namun strategi itu gagal menyekat asakan bertali arus PSG yang mencatatkan 70 peratus penguasaan bola pada separuh masa pertama.
Keputusan itu menyaksikan Liverpool kini hanya mencatatkan satu kemenangan dalam enam perlawanan terakhir bagi semua kejohanan, termasuk kekalahan besar 4-0 kepada Manchester City dalam saingan Piala FA hujung minggu lalu.
Slot turut membuat kejutan apabila merehatkan bintang utama, Mohamed Salah di bangku simpanan sepanjang perlawanan.
Manakala Alexander Isak hanya dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-78 selepas pulih daripada kecederaan patah kaki.
Liverpool kini berdepan tugas berat untuk mengulangi kebangkitan yang pernah dilakukan ketika menentang Galatasaray di pusingan 16 terakhir lalu.
Kedua-dua pasukan dijadualkan bertemu semula di Merseyside pada Selasa depan untuk menentukan slot ke separuh akhir. – AFP