Sepak Takraw Piala Emas Khir Johari, Melaka pencabar utama kejuaraan

Foto FB PSM

KUALA LUMPUR, 8 April Pasukan sepak takraw Melaka memulakan kempen Kejohanan Kebangsaan Piala Emas Khir Johari ke-58 dengan langkah kanan apabila mencatat kemenangan bergaya ke atas Kedah dalam aksi berpasukan lelaki Kumpulan A, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Melaka jelas berada di kelas tersendiri selepas menamatkan perlawanan dengan keputusan 3-0 tanpa berdepan masalah.
  • Regu kedua Zulkhairy, Azri dan Adam menyumbang mata kedua; regu pertama Azlan dan Zarif serta regu ketiga Syahir turut menang.
  • Jurulatih Mohd. Aznan Razlan masih menyusun keserasian, menggabungkan pemain lama dengan baharu demi keseimbangan pasukan.

Aksi di Akademi Sepak Takraw Malaysia menyaksikan Melaka jelas berada di kelas tersendiri apabila tidak berdepan masalah untuk menang 3-0.

Kejayaan itu sekali gus memberi isyarat awal bahawa Melaka antara pencabar utama kejuaraan edisi kali ini.

Regu kedua yang dibarisi Zulkhairy Ahmad Sabry, Azri Fahmi Zainuzzaman dan Adam Ameerul memastikan kemenangan mutlak buat Melaka apabila menyumbang mata kedua menerusi kemenangan 17-16, 15-6.

Terdahulu, regu pertama gandingan Azlan dan Zarif memberikan kelebihan awal selepas mencatat kemenangan selesa 15-5, 15-5, sebelum regu ketiga yang diterajui Syahir melengkapkan kemenangan dengan keputusan 15-8, 15-13.

Jurulatih Melaka, Mohd. Aznan Razlan mengakui pasukannya masih dalam proses mencari keserasian terbaik menjelang aksi seterusnya.

Beliau berkata, percaturan masih dilakukan bagi mengimbangi gabungan pemain lama dan baharu dalam setiap regu.

“Jika diikutkan, saya masih dalam proses menyusun dan mencari kesesuaian. Saya mahu menggabungkan pemain lama dengan baharu supaya lebih seimbang, terutama dalam acara berpasukan yang memerlukan kekuatan menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perlawanan pertama mereka menewaskan pasukan Kedah di ibu negara.

Dalam perlawanan lain, pasukan Bomba bangkit bekerja keras sebelum menewaskan Pulau Pinang 2-1 dalam aksi sengit.

Perak turut mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Sarawak dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung kompetitif.

Saingan dijangka terus rancak dengan setiap pasukan mula memperkemas strategi dalam usaha memburu slot ke pusingan seterusnya.