
KULAI, 8 April – Seorang pemandu e-hailing didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Kulai atas pertuduhan membantu pemberi pinjaman wang dan menuntut hutang secara tidak sah daripada seorang wanita, tahun lalu.
- Tertuduh mengaku bersalah membantu pemberi pinjaman tanpa lesen, menuntut hutang daripada seorang wanita berumur 52 tahun.
- Perbuatan berlaku di sebuah pasar raya pada Mei 2025, didakwa mengikut Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.
- Kes berasingan: lelaki mengaku bersalah menipu ahli perniagaan, mangsa pindah RM1,500; kes didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan.
Majistret R. Salini menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Chai Tiam Choy, 64 tahun mengaku bersalah atas perbuatan tersebut.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menjalankan kegiatan membantu pemberi pinjaman wang tanpa lesen sah dan tidak berdaftar, dengan menuntut hutang daripada seorang mangsa berumur 52 tahun.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah pasar raya di Kulai pada Mei 2025. Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.
Dalam perkembangan lain, di mahkamah sama, seorang lelaki didenda RM6,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan, 1 April lalu.
Tertuduh, Kiki Sefti Awan Mohd Aini, 27 tahun didakwa menipu V.Suresh Kumar, 39 tahun bagi permohonan permit kerja warga asing sehingga mendorong mangsa melakukan pindahan wang sebanyak RM1,500 ke dalam akaun tertuduh.
Kes didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan.