
KUALA LUMPUR, 30 April -Bursa Malaysia Bhd mencatat keuntungan bersih lebih tinggi bagi suku pertama tahun kewangan berakhir pada 31 Mac 2026 kepada RM72.83 juta daripada RM68.42 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
- Hasil dan hasil operasi meningkat, didorong aktiviti dagangan sekuriti serta yuran penyenaraian dan penerbit.
- Purata nilai dagangan harian naik 27.0% kepada RM3.3 bilion; 16 IPO dilaksanakan, permodalan pasaran meningkat 11.4% kepada RM2.1 trilion.
- Bursa pertingkatkan kualiti, kebolehcapaian dan keluasan ekosistem melalui indeks Quality 50, Mini FTSE futures dan kerjasama dengan HKEX.
- Aktiviti derivatif meningkat; purata kontrak dagangan harian naik 5.2% kepada 107,487, manakala hasil bukan dagangan berkembang 19.3%.
Perolehan hasil turut melonjak kepada RM214.07 juta berbanding RM184.37 juta sebelumnya manakala hasil operasi naik 16.4 peratus tahun ke tahun kepada RM206.9 juta, didorong terutamanya oleh peningkatan aktiviti dagangan sekuriti serta yuran penyenaraian dan penerbit.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pengendali pasaran itu memaklumkan purata nilai dagangan harian di pasaran meningkat 27.0 peratus tahun ke tahun kepada RM3.3 bilion, disokong oleh penyertaan meluas yang merentasi pelbagai segmen pelabur.
“Aktiviti pengumpulan dana bagi suku pertama 2026 adalah menggalakkan dengan 16 tawaran awam permulaan (IPO) dilaksanakan di Pasaran Utama, ACE dan LEAP. Jumlah permodalan pasaran meningkat sebanyak 11.4 peratus tahun ke tahun dan mencecah RM2.1 trilion bagi tempoh itu,” menurutnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Fad’l Mohamed menyifatkan bursa telah mencatat permulaan yang positif bagi tahun ini dengan aktiviti dagangan lebih tinggi selain perancangan penyenaraian yang kukuh, sekali gus memaparkan keyakinan terhadap pasaran modal Malaysia.
“Berdasarkan prestasi ini, keutamaan pembangunan pasaran telah dirancakkan untuk mengukuhkan aspek kualiti, kebolehcapaian serta keluasan ekosistem pasaran modal.
“Ini termasuk langkah bagi meningkatkan ketampakan pasaran ekuiti menerusi indeks Bursa Malaysia Quality 50 dan Quality 50 Shariah, memperluas akses kepada derivatif melalui Mini FTSE Bursa Malaysia KLCI Futures serta mempertingkat kesalinghubungan rentas sempadan melalui kerjasama dengan Hong Kong Exchanges and Clearing Ltd,” katanya.
Mengulas prospek, beliau berkata seiring kemajuan 2026, pasaran permodalan Malaysia terus beroperasi dalam persekitaran domestik berdaya tahan, disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang stabil dan kejelasan dasar.
“Unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam julat 4.0 peratus hingga 5.0 peratus menyediakan asas kukuh untuk pelaburan dan aktiviti pasaran modal.
“Bersandarkan landskap sedemikian, Bursa Malaysia kekal fokus terhadap usaha memenuhi peranan sebagai pengendali pasaran yang diyakini, memperkukuh daya hidup pasaran dan menyokong pembentukan modal mampan untuk memenuhi keperluan pelabur, penerbit serta ekonomi secara keseluruhan,” katanya.
Dalam pada itu, Bursa Malaysia menyatakan aktiviti Pasaran Derivatif turut meningkat dengan purata kontrak dagangan harian naik 5.2 peratus tahun ke tahun kepada 107,487 kontrak, didorong terutamanya oleh peningkatan dagangan FCPO (niaga hadapan minyak sawit mentah).
“Daya tahan pasaran Islam kekal berdaya tahan dengan purata nilai dagangan harian RM50.7 bilion di Bursa Suq Al-Sila.’
“Selain itu, perolehan hasil bukan dagangan berkembang sebanyak 19.3 peratus tahun ke tahun kepada RM79.3 juta atau mewakili 38 peratus daripada hasil operasi,” menurutnya. – BERNAMA