
TEMERLOH, 30 April – Seramai 27 individu termasuk warga Indonesia, Bangladesh dan Myanmar menjalani hukuman Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) siri ketujuh anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang di Esplanade Temerloh serta Pekan Riverfront, hari ini.
- Pesalah disabit membuang sampah kecil mengikut Seksyen 77B(1), Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.
- Majoriti pesalah didapati membuang puntung rokok merata-rata di kawasan awam.
- Beberapa pesalah mengaku salah, insaf dan berjanji padam puntung dalam abu sebelum dibuang.
- Pelaksanaan PKM serentak melibatkan pelbagai daerah; hukuman antara satu hingga empat jam mengikut perintah mahkamah.
Kesemua mereka dikenakan tindakan selepas disabitkan kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam mengikut Seksyen 77B(1), Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Majoriti pesalah didapati melakukan kesalahan membuang puntung rokok merata-rata di kawasan awam.
Seorang pesalah, Saravananthan, mengakui perbuatannya itu berpunca daripada sikap sambil lewa ketika merokok dan menyedari tindakan lebih bertanggungjawab perlu diambil.
“Lepas ini kalau hisap rokok, saya akan pastikan puntung dipadam dalam bekas abu rokok sebelum buang dalam tong sampah. Tak boleh buat macam sebelum ini,” katanya.
Bagi Mohd Nor Afiq, pengalaman ditahan penguat kuasa, disaman dan dihadapkan ke mahkamah menjadi pengajaran besar buat dirinya.
“Saya buang puntung rokok depan tempat kerja, kemudian dua pegawai datang tahan dan tanya saya. Saya mengaku salah, kena saman dan naik mahkamah. Hari ini saya jalani PKM dan memang rasa insaf,” katanya.
Sementara itu, warga Bangladesh, Ashikur Rahman berkata, sebagai pencari rezeki di Malaysia, dia perlu menghormati undang-undang negara ini dan tidak mengulangi kesalahan sama.
“Kalau duduk Malaysia, mesti tengok undang-undang Malaysia. Saya datang cari makan, jadi saya kena ikut peraturan. Salah tetap salah dan lain kali saya lebih berhati-hati,” katanya.
Pelaksanaan PKM secara serentak itu melibatkan pesalah dari beberapa daerah termasuk Temerloh, Jerantut, Maran, Cameron Highlands, Raub, Bentong, Muadzam Shah, Kuantan, Pekan dan Rompin.
Mereka menjalani hukuman antara satu hingga empat jam bergantung kepada perintah mahkamah, bermula pukul 8.30 pagi di dua lokasi berkenaan.