
PUTRAJAYA, 30 April -Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menegaskan pendiriannya dengan membantah penganjuran Program Rain Rave Water Music Festival 2026 yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur.
- Program berpotensi membawa kemudaratan akhlak dan menjejaskan nilai masyarakat majmuk.
- Penganjur diseru menilai semula konsep pelaksanaan dengan mengambil kira sensitiviti kaum, agama dan budaya.
- Bacaan Yasin dan solat hajat dianjurkan serentak; JAWI perkukuh program keagamaan untuk membimbing umat Islam.
Pengarahnya, Hanifuddin Roslan dalam satu kenyataan berkata, program tersebut berpotensi membawa kepada kemudaratan akhlak serta menjejaskan nilai masyarakat majmuk di negara ini.
JAWI turut menyeru pihak penganjur agar menilai semula konsep pelaksanaannya dengan mengambil kira sensitiviti masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya.
“Islam tidak menolak hiburan secara mutlak, namun ia perlu berpandukan garis syarak dan tidak melampaui batas sehingga mencetuskan unsur maksiat.
“JAWI akan terus memperkukuh program keagamaan bagi membimbing umat Islam agar mematuhi perintah agama dan menjauhi perkara yang dilarang,” katanya menerusi kenyataan itu.
Pada masa sama, bacaan Yasin dan solat hajat akan dianjurkan secara serentak di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, malam ini selepas solat Maghrib, bagi memohon kesejahteraan dan keharmonian
masyarakat.
“Orang ramai diseru bekerjasama memastikan setiap program hiburan bebas daripada unsur yang mencemarkan agama dan merosakkan akhlak, demi mengelakkan kemudaratan lebih besar,” katanya.