Pengurusan data peribadi asas tingkat keyakinan rakyat, industri

Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong /RTM

PUTRAJAYA, 30 April – Kepercayaan terhadap pengurusan data peribadi menjadi asas utama dalam memastikan rakyat dan industri terus yakin untuk memanfaatkan perkongsian data dalam mendepani cabaran teknologi masa kini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan memperkenalkan tiga garis panduan baru: DPIA, DPbD dan ADMP untuk mempertingkat perlindungan data.
  • Garis panduan memperkukuh tadbir urus data negara dan meningkatkan tahap pematuhan pemain industri.
  • Inisiatif penting untuk memastikan ekosistem digital selamat, dipercayai dan berdaya saing, sejajar aspirasi Malaysia sebagai negara AI menjelang 2030.
  • Kerajaan komited menyelaraskan perundangan perlindungan data dengan piawaian global serta menangani risiko penyalahgunaan data dan pemprofilan.

Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata bagi mencapai matlamat itu, kerajaan telah memperkenalkan tiga garis panduan baharu iaitu Penilaian Impak Perlindungan Data (DPIA), Mereka Bentuk Berdasarkan Perlindungan Data (DPbD) serta Pembuatan Keputusan Individu Secara Automatik dan Pemprofilan (ADMP).

Katanya, inisiatif itu bertujuan memperkukuh tadbir urus data negara sekali gus meningkatkan tahap pematuhan dalam kalangan pemain industri terhadap perlindungan data peribadi.

“Ketiga-tiga garis panduan ini merupakan instrumen penting dalam meningkatkan tahap pematuhan, memperkukuh tadbir urus data serta membina keyakinan terhadap ekosistem digital negara.”katanya semasa berucap merasmikan Majlis PDPA Connect “Strengthening Digital Trust 2026” disini hari ini.

Beliau menjelaskan langkah berkenaan amat penting bagi memastikan ekosistem digital negara kekal selamat, dipercayai dan berdaya saing, seiring dengan aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai negara AI menjelang 2030.

Menurut beliau, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan perundangan perlindungan data peribadi kekal selaras dengan piawaian global.

Langkah itu katanya, perlu bagi menangani pelbagai cabaran semasa termasuk risiko penyalahgunaan data dan aktiviti pemprofilan tanpa kawalan yang boleh menjejaskan integriti digital negara.

Beliau menambah, pembangunan ekonomi berasaskan data dan kecerdasan buatan (AI) hanya akan berjaya sekiranya tadbir urus data negara diperkukuh melalui garis panduan yang jelas dan telus.