PRM2.0 dilanjutkan sehingga Mei 2027

Ketua Pengarah Imigresen, Zakaria Shaaban/BERNAMA

PUTRAJAYA, 30 AprilKerajaan memutuskan untuk melanjutkan tempoh Program Repatriasi Migran (PRM) 2.0 selama setahun lagi sehingga 31 Mei 2027, berkuat kuasa esok.

RINGKASAN BERITA AI
  • PRM 2.0 merekodkan 254,186 pendaftaran PATI dari 112 negara dan kutipan hasil RM127 juta, menunjukkan keberkesanan pematuhan sukarela.
  • Individu dikecualikan daripada pendakwaan jika mematuhi syarat; kompaun RM500 bagi masuk tanpa pas atau tinggal melebihi tempoh.
  • JIM akan mempergiat penguatkuasaan melalui operasi bersepadu, risikan dan pemantauan; tindakan tegas tanpa kompromi terhadap pesalah dan majikan.

Ketua Pengarah Imigresen Zakaria Shaaban berkata keputusan pelanjutan program yang sepatutnya berakhir hari ini dibuat selepas mengambil kira pencapaian memberangsangkan yang dicatatkan sepanjang pelaksanaannya.

“Bermula dari 19 Mei 2025 hingga 29 April 2026, PRM 2.0 telah merekodkan sebanyak 254,186 pendaftaran melibatkan PATI daripada 112 negara, dengan jumlah kutipan hasil bernilai RM127 juta, sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan pematuhan sukarela dalam pengurusan migrasi negara”, katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, statistik tersebut membuktikan keberkesanan pendekatan pematuhan sukarela dalam kerangka pengurusan migrasi negara.

Beliau menjelaskan, di bawah mekanisme PRM 2.0, individu yang terlibat dikecualikan daripada pendakwaan tertakluk kepada syarat yang ditetapkan, dengan kadar kompaun RM500 dikenakan bagi kesalahan memasuki negara tanpa pas sah atau tinggal lebih masa.

Manakala bagi kesalahan melanggar syarat pas, individu terlibat dikenakan kompaun sebanyak RM300.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Imigresen, Zakaria Shaaban memaklumkan, JIM akan terus mempergiat usaha penguatkuasaan secara menyeluruh dan berterusan di seluruh negara.

Dalam pada itu, Zakaria menegaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan terus mempergiat usaha penguatkuasaan secara menyeluruh dan berterusan melalui pelaksanaan operasi bersepadu, risikan serta pemantauan.

“Tindakan undang-undang akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang melanggar peraturan, termasuk majikan atau pihak yang melindungi pendatang tanpa izin,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua PATI agar tampil segera untuk menyelesaikan status masing-masing melalui saluran sah yang disediakan sebelum tindakan tegas diambil.