Rayuan penyerang dua masjid Christchurch ditolak, sabitan kekal

Brenton Tarrant penyerang dalam insiden tembakan di masjid Christchurch/ AFP

CHRISTCHURCH, 30 April – Mahkamah Rayuan New Zealand pada Khamis menolak permohonan rayuan Brenton Tarrant berhubung sabitan kes tembakan di dua masjid Christchurch pada 2019, dengan menyifatkannya tidak berasas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mengaku bersalah pada 26 Mac 2020 terhadap 51 pertuduhan membunuh, 40 cubaan membunuh dan serangan pengganas; dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.
  • Rayuan difailkan lewat 505 hari; peguam berhujah pengakuan tidak sukarela akibat keadaan penjara yang menjejaskan kesihatan mental.
  • Mahkamah mendapati keterangan bercanggah dengan rekod, menilai tertuduh waras dan menolak usaha menarik balik rayuan demi kepentingan awam.

Tarrant adalah warganegara Australia, sebelum ini mengaku bersalah pada 26 Mac 2020 terhadap 51 pertuduhan membunuh, 40 pertuduhan cubaan membunuh serta satu pertuduhan melakukan serangan pengganas berhubung insiden tembakan pada 2019. Pada Ogos tahun sama, dia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.

Mahkamah memberitahu Tarrant memfailkan rayuan pada November 2022, lewat 505 hari daripada tempoh ditetapkan. Peguamnya mendakwa pengakuan bersalah itu tidak dibuat secara sukarela kerana dipengaruhi keadaan penjara yang menjejaskan mentalnya.

Bagaimanapun, panel tiga hakim menolak hujah tersebut.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan bersama penghakiman, mahkamah mendapati keterangan Tarrant tidak konsisten dan bercanggah dengan rekod penjara, penilaian kesihatan mental serta bukti daripada peguam perbicaraan terdahulu.

Mahkamah memutuskan Tarrant waras dan tidak dipaksa ketika mengaku bersalah. Selepas perbicaraan pada Februari, percubaannya untuk menarik balik rayuan turut ditolak atas kepentingan awam. Keputusan itu sekali gus menamatkan proses rayuan kes berkenaan.

Insiden pembunuhan terburuk dalam sejarah keamanan New Zealand itu sangat mengejutkan dan mendorong kerajaan segera memperketat undang-undang senjata api.-REUTERS