Bola sepak negara, kembali kepada status Semipro cadangan realistik

Pertukaran kepada status Semipro dilihat mampu menstabilkan semula ekosistem bola sepak negara/Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 3 April Isu ‘reset’ struktur bola sepak tempatan kembali hangat diperkatakan, apabila cadangan untuk kembali kepada status separa profesional (Semipro) dilihat sebagai langkah lebih realistik dalam menangani pelbagai kemelut yang melanda.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kembalinya status Semipro dianggap langkah realistik untuk reset struktur bola sepak negara.
  • Model Semipro mampu menstabilkan ekosistem, mengurangkan tekanan kewangan dan pengurusan kelab.
  • Pemain boleh bekerja separuh masa sambil terus beraksi, mengurangkan tunggakan gaji dan beban kelab.
  • Pelaksanaan perlu menyeluruh melalui kerjasama persatuan negeri untuk membina semula dari bawah dan pulihkan sokongan penyokong.

Langkah tersebut dianggap mampu menstabilkan semula ekosistem bola sepak negara, khususnya dari aspek kewangan dan pengurusan kelab yang semakin tertekan.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif TRW Kelantan FC, Ahmad Muzakkir Hamid berkata, model profesional ketika ini dilihat belum mencapai tahap sebenar seperti yang diharapkan.

“Apabila kita berada dalam status profesional ketika ini, realitinya kita belum benar-benar mencapai tahap yang sepatutnya. Kita lihat ada pemain terpaksa menuntut gaji setiap bulan, malah ada yang berdepan tunggakan berbulan-bulan.

”Jika kembali kepada sistem Semipro, pemain boleh bekerja secara separuh masa seperti dahulu.

”Pada masa sama, masih dapat beraksi di padang. Pendekatan ini bukan sahaja lebih praktikal, malah mampu mengurangkan beban kewangan persatuan atau kelab,” katanya.

Beliau turut menegaskan, pendekatan tersebut perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan kerjasama semua pihak berkepentingan, khususnya persatuan bola sepak negeri.

“Strateginya, kita perlu mencari satu penyelesaian secara bersama. Setiap persatuan negeri perlu bersatu menyatakan hasrat untuk kembali kepada Semipro.

“Saya yakin, jika kita bermula semula dari bawah, ia mampu membawa kejayaan serta mengembalikan sokongan penonton dan penyokong terhadap bola sepak tempatan,” ujarnya.

Cadangan tersebut dilihat sebagai antara usaha untuk membina semula asas bola sepak negara agar lebih mampan, selain mengembalikan semula kepercayaan peminat terhadap liga tempatan.