
KUALA LUMPUR, 22 April – Sudah tiba masanya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) diterajui individu berpengalaman dalam bola sepak bagi memastikan hala tuju lebih jelas dan berkesan.
- Calon presiden mesti memiliki integriti dan pengalaman luas dalam bola sepak, bukan hanya pengaruh atau jaringan.
- Kepimpinan harus berteraskan penyatuan, menghimpun semua pihak untuk mengembalikan sokongan dan elak perpecahan.
- Kepimpinan kolektif lebih kukuh; keperluan reformasi selepas krisis pemalsuan dokumen dan peletakan jawatan Exco.
Pemerhati bola sepak tempatan, Ahmad Muzakkir Hamid menegaskan, walaupun pengaruh, jaringan dan keupayaan kewangan penting dalam landskap bola sepak moden, namun pengalaman mendalam dalam sukan itu sendiri menjadi elemen kritikal dalam menentukan keberkesanan kepimpinan.
“Calon presiden perlu memiliki integriti serta pengalaman luas, khususnya dalam bola sepak di peringkat Malaysia atau antarabangsa, agar benar-benar memahami sukan ini yang berbeza daripada sukan lain.
“Selain itu, kepimpinan juga harus berteraskan semangat penyatuan, bukan perpecahan, dengan menghimpunkan semua pihak di bawah satu gabungan bagi mengembalikan sokongan,”tegasnya.
Tambahnya, sumbangan tokoh yang mempunyai rekod dalam pembangunan bola sepak wajar dihargai, namun ruang perlu diberikan secara adil kepada individu lain yang mempunyai visi dan kredibiliti setanding.
Pendekatan lebih terbuka itu penting bagi memastikan FAM tidak dilihat terlalu bergantung kepada satu figura, sebaliknya dipacu oleh kepimpinan kolektif yang lebih kukuh dan berdaya tahan.
FAM sebelum ini diterajui Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub yang memegang jawatan itu bermula Februari 2025, namun beliau kemudiannya meletakkan jawatan pada Ogos tahun sama.
Susulan isu pemalsuan dokumen yang membabitkan tujuh pemain, kesemua ahli Exco FAM turut melepaskan jawatan selepas itu.