
KOTA BHARU, 22 April – Barisan pemain Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) diingatkan supaya tidak leka dengan kejayaan menewaskan Manjung City FC 4-0 pada aksi Liga A1 Semi Pro Malaysia 2025/2026 di Stadium Sultan Muhammad IV.
- Pasukan perlu kekalkan aksi cemerlang dan momentum sepanjang baki perlawanan bagi mencapai sasaran liga.
- KRW FC kini di tangga keenam dengan 41 mata, dua mata di belakang kelompok teratas, satu perlawanan dalam tangan.
- Perlawanan menentang Armed Forces FC di Stadium Sultan Muhammad IV penting untuk merapatkan jurang dengan kelompok teratas.
Presidennya, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata pasukan itu perlu mengekalkan aksi cemerlang dalam perlawanan akan datang memandangkan saingan liga kini semakin menghampiri penghujung dengan setiap baki perlawanan amat penting bagi mencapai sasaran utama.
“Alhamdulillah, kemenangan berpihak kepada Kelantan Red Warrior dan saya sangat bersyukur. Semua pemain beraksi cemerlang dan berjaya membalas kekalahan perlawanan pertama sekali gus memperbaiki kedudukan pasukan dalam saingan liga.
“Saya mahu ingatkan semua pemain supaya tidak terleka dengan kemenangan ke atas Manjung dan terus memberikan aksi terbaik untuk perlawanan seterusnya menentang satu lagi kelab pencabar,” katanya.
Kemenangan ke atas kelab dari Perak itu menyaksikan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim membuka semula persaingan bagi kedudukan lebih baik dalam carta liga selepas naik ke tangga keenam dengan 41 mata daripada 23 perlawanan.
KRW FC kini hanya dipisahkan dua mata di belakang UM-Damansara United FC di tangga keempat, selain memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan.
Mengulas aksi seterusnya, beliau berkata pertemuan menentang Armed Forces FC Sabtu ini di Stadium Sultan Muhammad IV menjadi pentas penting untuk pasukan itu terus merapatkan jurang dengan kelompok teratas.
Pasukan pelawat yang dikenali sebagai The Gladiators turut dilihat mampu memberi cabaran sengit dalam usaha memburu mata penting bagi memperbaiki kedudukan dalam carta liga.