NSFC terima lebih 30 permohonan jawatan ketua jurulatih baharu

Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus ketika ditemui media pada Majlis Penyerahan Cek Tajaan Bubbles O2 kepada Kelab Bola Sepak Negeri Sembilan di Wisma Negeri / Foto BERNAMA

SEREMBAN, 22 April – Negeri Sembilan FC (NSFC) menerima lebih 30 permohonan bagi jawatan ketua jurulatih baharu untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan, termasuk daripada calon luar negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan pelantikan ketua jurulatih dijangka dimuktamadkan bulan depan oleh pengerusi kelab, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
  • Pemilihan mengutamakan jurulatih yang selari dengan struktur dan falsafah permainan pasukan.
  • K. Rajan kekal dalam barisan kejurulatihan musim depan sebagai sebahagian daripada perancangan jangka panjang kelab.
  • Kelab mengekalkan beberapa pemain import, antaranya Takumi Sasaki dan Jovian Motika, serta menandatangani pemain kebangsaan Sukan SEA.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NSFC, Faliq Firdaus Muhammad Rom berkata proses penilaian serta sesi temu duga kini sedang dijalankan bersama pengarah teknikal pasukan.

“Perancangan musim depan sedang dilakukan dan kami telah menerima banyak permohonan, termasuk dari Jepun, Australia, Sepanyol dan Croatia, selain calon tempatan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Bubbles O2 kepada NSFC di Wisma Negeri, di sini, hari ini.

Beliau berkata keputusan pelantikan ketua jurulatih baharu dijangka dimuktamadkan oleh pengerusi kelab, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun bulan depan.

Dalam pada itu, Faliq menjelaskan pemilihan ketua jurulatih musim depan akan memberi keutamaan kepada sistem permainan yang ditetapkan, dengan kelab kini sedang mencari jurulatih yang selari dengan falsafah berkenaan.

“Kita telah menetapkan struktur dan falsafah permainan pasukan dan kini mencari jurulatih yang mampu menyesuaikan diri dengan pendekatan tersebut dengan sokongan pengarah teknikal,” katanya.

Ketika ini, NSFC dibimbing K. Rajan sebagai ketua jurulatih sementara selepas Nidzam Jamil meletakkan jawatan pada Februari lepas.

Mengulas nasib Rajan, Faliq berkata jurulatih berkenaan masih berada dalam perancangan jangka panjang kelab dan kekal dalam barisan kejurulatihan musim depan.

Sementara itu, beliau berkata kira-kira 70 peratus pemain tempatan akan dikekalkan, manakala 30 peratus lagi akan ditukar berdasarkan nasihat pengarah teknikal.

“Beberapa pemain utama pasukan juga menandatangani lanjutan kontrak, manakala pemain seperti Muhammad Azri Abdul Ghani dan Luqman Hakim Shamsudin kekal bersama pasukan,” katanya.

Beliau berkata NSFC turut telah menandatangani beberapa pemain baharu termasuk pemain kebangsaan yang beraksi di temasya Sukan SEA, manakala pemain import seperti Takumi Sasaki (Jepun) dan Jovian Motika (Bosnia) kekal bersama pasukan.- BERNAMA