
KUALA LUMPUR, 22 April – Sebarang keputusan berhubung cadangan penangguhan penganjuran Sukan Malaysia XXII (SUKMA) 2026 di Selangor akan diketahui dalam masa terdekat.
- Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi SUKMA akan bersidang pada 30 April untuk memutuskan cadangan penangguhan.
- Keputusan akan dibuat secara kolektif dan tidak boleh diambil secara unilateral; semua pihak berkepentingan mesti dilibatkan termasuk kerajaan negeri.
- Pendekatan kementerian bersifat terbuka dan demokratik, akan mendengar pandangan negeri sebelum mencapai keputusan terbaik.
- Kementerian mengambil maklum titah Sultan Selangor mengenai cadangan penangguhan dan menunggu maklum balas rasmi Kerajaan Negeri Selangor.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, perkara itu akan diputuskan secara kolektif menerusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang akan bersidang pada 30 April ini.
Beliau menegaskan bahawa sebarang ketetapan berkaitan temasya itu tidak boleh dibuat secara unilateral, sebaliknya perlu melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk kerajaan negeri.
“Kita akan dengar semua pandangan termasuk daripada negeri-negeri sebelum capai keputusan terbaik. Pendekatan kita adalah terbuka dan demokratik.
“Setakat hari ini, kita belum membuat keputusan. Kita akan panggil mesyuarat khas berkenaan, insya-Allah sekitar 30 April ini untuk membincangkan perkara ini secara menyeluruh sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Bangunan Pusat Prestasi Tinggi Negara, Institut Sukan Negara (ISN) dan Dokumen Pelan Bakat Sukan Kebangsaan (MyTP) di sini.
Mengulas lanjut mengenai isu SUKMA, beliau memaklumkan kementeriannya mengambil maklum titah cadangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung penangguhan temasya berkenaan.
Bagaimanapun, pihaknya masih menunggu maklum balas rasmi daripada Kerajaan Negeri Selangor selaku tuan rumah untuk tindakan lanjut.