Masjid di Wilayah Persekutuan digalak adakan solat hajat tangani jerebu

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 15 Oktober – Masjid-masjid di seluruh Wilayah Persekutuan digalakkan mengadakan solat hajat bagi memohon agar isu jerebu yang melanda negara dapat ditangani dengan baik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Beberapa masjid akan mengadakan solat hajat malam ini dan esok sebagai ikhtiar spiritual.
  • Solat hajat diadakan di tiga masjid utama JAKIM: Masjid Negara, Masjid Putra, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.
  • Jadual solat hajat: malam ini selepas Maghrib dan esok selepas solat Jumaat.
  • Inisiatif diharap menggalakkan umat Islam berdoa, serasi dengan usaha berterusan menangani isu jerebu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, beberapa masjid di Wilayah Persekutuan akan mengadakan solat hajat malam ini dan esok sebagai ikhtiar spiritual, selain usaha berterusan pihak berkaitan menangani masalah berkenaan.

“Selain usaha-usaha yang dijalankan, kita perlulah bergantung pada Allah SWT. Jadi, kita menggalakkan masjid-masjid di seluruh Wilayah Persekutuan mengadakan solat hajat.

“Moga-moga doa umat Islam di Wilayah Persekutuan dan seluruh negara dimakbulkan Allah SWT. Kita mulakan dengan Wilayah Persekutuan dan insya-Allah, kita sama-sama berdoa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Masjid Nusantara dan Anugerah Masjid Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 di Putrajaya.

Dr Zulkifli berkata, usaha menangani jerebu perlu disertai doa dan tawakal kepada Allah SWT, selain ikhtiar berterusan oleh pihak berkaitan.

Solat hajat berikutan situasi jerebu itu akan diadakan di tiga masjid utama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya.

Solat hajat dijadual berlangsung malam ini selepas solat Maghrib dan esok selepas solat Jumaat.

Inisiatif itu diharap dapat menggalakkan umat Islam bersama-sama berdoa agar keadaan jerebu beransur pulih, di samping usaha berterusan menangani isu berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.