Kematian OKT: Polis tunggu laporan kimia dan patologi

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Polis menunggu laporan penuh Jabatan Kimia serta keputusan pemeriksaan patologi bagi melengkapkan siasatan kes seorang tahanan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) pada 1 Oktober lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kematian OKT diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
  • Siasatan diambil alih Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan Bukit Aman bersama JIPS Bukit Aman.
  • Suspek ditahan bagi kes jenayah dan kes narkotik, serta mempunyai lebih 44 rekod lampau, melebihi 60 selepas pengakuan.
  • Lawyers for Liberty mendesak siasatan sebagai kes bunuh susulan dakwaan kecederaan serius pada tubuh OKT.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata kematian Orang Kena Tahan (OKT) itu setakat ini, diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Menurutnya, siasatan kes kini diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

“Setakat ini, terdapat tiga laporan berkaitan kes berkenaan, bermula dengan laporan daripada pihak Narkotik, diikuti penangkapan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan semasa OKT dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan kemudiannya disahkan meninggal dunia.

“Kita perlu ingat bahawa setiap tangkapan yang melibatkan tahanan reman perlu dikemukakan ke hadapan Majistret. Oleh itu, pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dalam pengendalian OKT merupakan tanggungjawab pihak polis yang perlu dilaksanakan dengan sewajarnya,” katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media di sini, hari ini.

Datuk Fadil berkata, suspek ditahan berhubung dua kes jenayah yang disiasat mengikut Seksyen 457 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan, manakala satu kes narkotik mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Semakan mendapati suspek mempunyai 44 rekod lampau, merangkumi 18 rekod berkaitan narkotik dan 26 rekod kesalahan jenayah.

Sepanjang tempoh tahanan, siasatan turut mendapati suspek dipercayai terbabit dalam 17 kes tambahan melibatkan pecah rumah dan curi di sekitar Cheras berdasarkan pengakuannya, sekali gus menjadikan keseluruhan rekod kes melibatkannya melebihi 60 kes.

Beliau turut menegaskan siasatan kematian dalam tahanan itu masih berjalan dan meminta orang ramai tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga keputusan rasmi diperoleh.

Terdahulu, seorang lelaki warga tempatan berusia awal 40-an meninggal dunia dalam tahanan polis ketika menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), pada 1 Oktober lalu, kira-kira 1.52 pagi.

Sebelum ini, Lawyers for Liberty (LFL) mendesak pihak polis menyiasat kematian OKT berkenaan sebagai kes bunuh susulan dakwaan terdapat kecederaan serius pada tubuh lelaki terbabit.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.