Gajah liar ganggu pekebun di Chemor, 9.7 hektar kawasan terjejas

Tong simpanan air  turut mengalami kerosakan

IPOH, 15 Oktober – Seramai 12 pekebun di Bukit Bangkong, Chemor di sini, berdepan kerugian apabila tanaman dan kemudahan bekalan air mereka dirosakkan gajah liar dalam tiga kejadian sejak bulan lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gangguan berulang dalam kira-kira dua minggu menjejaskan sekitar 9.7 hektar kebun, menimbulkan kebimbangan pekebun.
  • Tanaman seperti kelapa, nangka dan pisang serta tong simpanan air dan paip turut rosak.
  • Beberapa pengusaha terutama pesara kini tidak berani melawat kebun kerana bimbang terhadap keselamatan.
  • Laporan dibuat kepada PERHILITAN; wakil MBI menggesa tindakan segera dan pekebun mahukan langkah lebih berkesan.

Gangguan berulang dalam tempoh kira-kira dua minggu itu menjejaskan kawasan kebun seluas kira-kira 9.7 hektar, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pekebun.

Pekebun, Abdul Rahim Ahmad berkata, antara tanaman yang musnah ialah kelapa, nangka dan pisang, selain tong simpanan air serta saluran paip yang digunakan untuk membekalkan air kepada tanaman.

Beliau berkata, kejadian itu menimbulkan kebimbangan kerana gajah berkenaan berkemungkinan kembali ke kawasan kebun.

“Saya rasa mungkin dia akan datang lagi. Sekarang ini ada kira-kira 12 orang dalam kelompok yang terlibat. Tanaman yang musnah termasuk kelapa, nangka dan pisang, selain tong-tong seperti yang dilihat di belakang,” katanya.

Pekebun, Omar Abdullah menunjukkan lokasi tapak kesan gajah di kawasan kebun mereka

Menurut penduduk, gangguan gajah liar itu merupakan kejadian pertama sejak kawasan berkenaan mula diusahakan pada 2018.

Seorang lagi pekebun, Rohaniah Razali berkata, kejadian itu menyebabkan beberapa pengusaha tidak lagi berani mengunjungi kebun masing-masing, khususnya golongan pesara yang bimbang terhadap keselamatan diri.

“Semenjak ada serangan gajah, memang ada pengusaha yang tidak datang ke kebun. Maklumlah, semuanya pesara. Jadi, kalau hendak pergi sendiri, memang tidak berani,” katanya.

Susulan kejadian itu, laporan sudah dibuat kepada pihak berkuasa termasuk Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Tapak kaki gajah dikesan di lokasi kejadian

Sementara itu, Ketua Whip Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Datuk Mazlan Abd Rahman menggesa pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera bagi menangani gangguan berkenaan.

Beliau berkata, isu itu perlu diselesaikan secara menyeluruh bagi memastikan kebajikan dan keselamatan pekebun kecil tidak terus terjejas.

“Kita tidak boleh biarkan perkara ini berlarutan. Mereka juga bimbang dan takut. Pihak bertanggungjawab perlu tampil segera untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Pengusaha kebun berharap tindakan lebih berkesan dapat dilaksanakan bagi mengelakkan kejadian sama berulang serta membolehkan mereka mengusahakan kebun tanpa rasa bimbang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.