
ZURICH, 15 Oktober – Piala Asia yang dijadual berlangsung di Arab Saudi pada Januari depan berkemungkinan ditunda setahun ke 2028 sekiranya keadaan memerlukan, susulan siri serangan kumpulan Houthi terhadap negara itu.
- AFC akan menunggu sehingga akhir November sebelum membuat keputusan, tidak tergesa-gesa mengenai penganjuran.
- Arab Saudi berdepan serangan berkaitan peningkatan ketegangan dengan kumpulan Houthi, menjejaskan keselamatan serantau.
- Perlawanan tempatan dan antarabangsa termasuk Al Nassr serta kejohanan tenis pameran turut ditangguhkan susulan situasi keselamatan.
Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Sheikh Salman bin Ebrahim al-Khalifa berkata, pihaknya bagaimanapun tidak tergesa-gesa membuat keputusan berhubung kejohanan bola sepak utama benua itu.
Piala Asia 2027 dijadual bermula pada 7 Januari di Jeddah, Riyadh dan Al Khobar.
Arab Saudi sejak beberapa hari kebelakangan ini berdepan serangan berterusan susulan peningkatan ketegangan konflik dengan kumpulan Houthi yang disokong Iran.
“Kita boleh menunggu sehingga akhir November,” katanya kepada pemberita di Zurich pada Rabu ketika ditanya mengenai keputusan berhubung penganjuran Piala Asia.
“Keadaan di rantau itu boleh berubah dengan pantas, sama ada menjadi lebih baik atau buruk, dan kita perlu melihat perkembangan yang berlaku.
“Jika perlu membuat keputusan, kita akan berbuat demikian. Kita boleh menunda kejohanan itu setahun ke 2028 jika perlu.
“Namun, buat masa ini, kita sedang memantau keadaan dan segala-galanya masih mengikut jadual,” katanya.
Pada Isnin, perlawanan Liga Juara Asia membabitkan kelab Al Nassr yang diwakili Cristiano Ronaldo ditangguhkan selama sejam selepas gabungan tentera diketuai Arab Saudi memaklumkan pihaknya memintas peluru berpandu yang dilancarkan ke arah Riyadh.
Tiga perlawanan bola sepak domestik Arab Saudi, termasuk satu perlawanan membabitkan Al Nassr, turut ditangguhkan minggu ini.
Sementara itu, kejohanan tenis pameran Six Kings Slam yang dijadual menampilkan Novak Djokovic, Carlos Alcaraz dan Alexander Zverev turut ditunda ke penghujung Disember.
Australia, antara 24 pasukan yang bakal bertanding dalam Piala Asia, berkata minggu ini bahawa pihaknya sedang memantau rapat perkembangan keselamatan di Arab Saudi.
Pada Khamis, persatuan yang mewakili pemain bola sepak Korea Selatan menyuarakan kebimbangan serius terhadap keselamatan semua pemain yang menyertai kejohanan itu.
“Ketegangan ketenteraan yang berterusan dan ketidakstabilan keselamatan di Timur Tengah merupakan isu yang tidak boleh dipandang ringan,” kata Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Korea (KPFA), Lee Keun-ho, menurut agensi berita Yonhap.
Beliau menegaskan bahawa nilai mana-mana kejohanan tidak boleh mengatasi kepentingan nyawa dan keselamatan pemain serta peminat bola sepak. – AFP