Bot bersenjata Iran tembak kapal kontena di perairan Oman, sebuah lagi kapal turut disasarkan

Foto AFP

DUBAI, 22 April – Sebuah bot bersenjata Iran melepaskan tembakan ke arah kapal kontena di perairan Oman pada Rabu, manakala sebuah lagi kapal berhampiran Iran turut diserang, menurut agensi keselamatan maritim Britain.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kapal mengalami kerosakan besar pada bahagian anjungan; semua kru selamat, tanpa kebakaran atau pencemaran.
  • Vanguard Tech: kapal berdaftar Liberia diberitahu dibenarkan melalui Selat Hormuz.
  • Insiden berasingan: kapal Euphoria berbendera Panama ditembak, terpaksa berhenti; tiada kecederaan atau kerosakan dilaporkan.
  • Selat Hormuz kini dikawal ketat oleh Iran sejak konflik dengan Israel dan Amerika Syarikat; tentera AS juga mengenakan sekatan pelabuhan Iran.

Pusat Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) berkata kapal berkenaan didekati sebuah bot bersenjata Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) sebelum tembakan dilepaskan, menyebabkan kerosakan besar pada bahagian anjungan kapal.

“Insiden itu berlaku kira-kira 15 batu nautika timur laut Oman, namun semua kru dilaporkan selamat tanpa sebarang kebakaran atau pencemaran,” kata UKMTO.

Menurut firma keselamatan maritim Britain, Vanguard Tech, kapal tersebut berdaftar di Liberia dan telah dimaklumkan bahawa ia dibenarkan melalui Selat Hormuz.

Bagaimanapun, agensi berita Iran, Tasnim, mendakwa kapal itu mengabaikan amaran pihak tentera Iran.

Dalam insiden berasingan, sebuah kapal kargo kira-kira lapan batu nautika di barat perairan Iran turut ditembak dan terpaksa berhenti.

Vanguard mengenal pasti kapal itu sebagai kapal kontena berbendera Panama, Euphoria, ketika itu sedang keluar dari Selat Hormuz.

“Tidak dapat dipastikan pihak yang bertanggungjawab dalam kejadian kedua itu,” kata Vanguard.

UKMTO memaklumkan kapal tersebut berhenti di laut selepas ditembak, namun semua kru selamat dan tiada kerosakan dilaporkan.

Data Marine Traffic menunjukkan kapal berkenaan dalam perjalanan dari pelabuhan Jebel Ali di Emiriah Arab Bersatu ke Jeddah, Arab Saudi.

Laluan perkapalan di Selat Hormuz kini dikawal ketat oleh Iran sejak tercetusnya perang dengan Israel dan Amerika Syarikat, manakala tentera AS turut melaksanakan sekatan terhadap pelabuhan Iran.

Presiden AS, Donald Trump, pada Rabu mengumumkan gencatan senjata antara kedua-dua negara dilanjutkan selepas mula berkuat kuasa pada 8 April.-AFP