
PUTRAJAYA, 9 Mac– Perdana Menteri Anwar Ibrahim mencadangkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menyediakan laluan kenaikan pangkat bagi penjawat awam Gred 1 merangkumi kategori pembantu tadbir, pengkeranian dan kewangan.
- Laluan khas melibatkan 125,000 penjawat awam membolehkan kenaikan Gred 1 ke Gred 5 di bawah syarat khas.
- Pelaksanaan bertujuan memberi peluang kemajuan kerjaya kepada penjawat awam gred rendah menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam.
- Kursus wajib akan dilaksanakan dalam enam bulan; kenaikan gred disasarkan bermula selewat-lewatnya 1 Januari tahun depan.
Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, laluan khusus membabitkan 125,000 penjawat awam itu bertujuan membolehkan penjawat awam Gred 1 dinaikkan ke Gred 5 dengan syarat-syarat khas yang ditetapkan.
Beliau berkata langkah berkenaan perlu dilaksana bagi membolehkan penjawat awam gred rendah mempunyai peluang kemajuan kerjaya bawah pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
‘Jadi bagi menambah baik peluang laluan kerja, saya telah minta JPA untuk sediakan laluan kenaikan gred seramai 125,000 daripada Gred 1 naik ke Gred 5. Ini bagi membantu Pembantu Tadbir Pengkeranian dan Kewangan. Tetapi tertakluk pada satu saja syarat. Syaratnya pergi ke kursus,”katanya pada majlis perjumpaan bersama warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Putrajya.
Menurut Perdana Menteri, kursus berkenaan dijangka dilaksanakan dalam tempoh enam bulan, sebelum proses kenaikan gred disasarkan bermula selewat-lewatnya 1 Januari tahun depan bagi memperkukuh kebajikan dan motivasi penjawat awam.