78,000 kilogram sisa elektronik, besi buruk dikesan AKPS

AKPS mengesan sisa elektronik, besi buruk dalam tujuh kontena di Pelabuhan Klang/Foto AKPS Pelabuhan Klang

KLANG, 6 Mac – Sebanyak 78,000 kilogram sisa elektronik atau e-waste, campuran sisa dan besi buruk dikesan dalam tujuh kontena dalam pemeriksaan Op Green Shield ke-16 yang dijalankan di Pelabuhan Klang pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi melibatkan 20 pegawai daripada Kastam, JAS, SIRIM dan Lembaga Pelabuhan Klang.
  • Sebahagian kontena mengandungi sisa elektronik; yang lain mengandungi sisa campuran dan besi buruk tidak mematuhi syarat import.
  • Kesemua kontena diserahkan kepada SIRIM untuk siasatan lanjut dan penilaian teknikal.
  • Sejak pelaksanaan Ops Green Shield, pihak berkuasa mengesan 2,844.46 tan sisa elektronik melibatkan 142 kontena.

Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata operasi bersepadu yang bermula pada 9.30 pagi hingga kira-kira tengah hari itu melibatkan 20 pegawai daripada beberapa agensi termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Alam Sekitar (JAS), SIRIM serta Lembaga Pelabuhan Klang.

“Sebanyak tujuh kontena diperiksa dalam operasi itu dan empat daripadanya didapati mengandungi sisa elektronik dengan jumlah keseluruhan seberat 78,000 kilogram.

“Tiga lagi kontena pula mengandungi campuran sisa dan besi buruk yang tidak mematuhi syarat import,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kesemua kontena terbabit telah diserahkan kepada SIRIM untuk siasatan lanjut.

Nik Ezanee berkata sejak pelaksanaan Ops Green Shield 1 hingga Ops Green Shield 16, pihak berkuasa telah mengesan sebanyak 2,844.46 tan sisa elektronik melibatkan 142 kontena yang disahkan mengandungi bahan buangan berkenaan.

Beliau berkata operasi berkenaan merupakan sebahagian daripada langkah penguatkuasaan bagi mengekang kemasukan sisa elektronik secara haram ke negara ini.

Menurutnya, pemeriksaan yang dijalankan hari ini juga bertujuan mengesahkan senarai kontena yang dikenal pasti oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Lembaga Pelabuhan Klang tahun lalu.

Kontena yang mengandungi sisa elektronik itu akan ditempatkan di kawasan selamat sementara menunggu arahan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk proses penghantaran semula ke negara asal.

Nik Ezanee berkata AKPS akan terus menjalankan pemeriksaan terhadap kontena perdagangan yang disyaki membawa sisa terlarang di pintu masuk negara.