9.6 juta pencarum PERKESO bakal nikmati perlindungan 24 jam mulai Jun

Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil / BERNAMA

BUKIT JALIL, 1 Mei – Seramai 9.6 juta pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bakal menikmati perlindungan sepanjang masa menerusi pelaksanaan Skim LINDUNG 24 Jam yang akan bermula Jun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Skim LINDUNG 24 Jam memastikan pencarum dilindungi sepanjang masa walaupun kemalangan berlaku di luar waktu bekerja.
  • Had umur Skim LINDUNG Kasih untuk suri rumah dinaikkan daripada 55 kepada 60 tahun.
  • Langkah itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 720,000 wanita di negara ini.
  • Portal Lindung Faedah PERKESO dilancarkan April 2026 membolehkan permohonan faedah dibuat dalam talian tanpa dokumen fizikal.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, skim berkenaan memastikan pencarum terus dilindungi walaupun kemalangan berlaku di luar waktu bekerja.

“PERKESO akan melaksanakan Skim LINDUNG 24 Jam. Ini bermakna 9.6 juta pencarum dilindungi sepanjang masa, bukan hanya semasa bekerja.

“Kalau kemalangan berlaku di luar waktu kerja pun, mereka tetap dilindungi,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Pekerja 2026 di Bukit Jalil.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata had umur Skim LINDUNG Kasih untuk suri rumah turut dinaikkan daripada 55 kepada 60 tahun.

Katanya, langkah itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 720,000 wanita di negara ini.

“Had umur Skim LINDUNG Kasih untuk suri rumah akan dinaikkan dari 55 kepada 60 tahun. Lebih 720,000 wanita akan mendapat manfaat.

“Suri rumah menjaga anak-anak, orang tua dan ahli keluarga yang sakit kerana mereka menyumbang besar kepada negara. Sudah tiba masanya kita balas jasa mereka dengan perlindungan yang lebih baik,” katanya.

Menurut beliau, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) juga sedang memperkukuh ekosistem digital bagi memudahkan urusan pekerja, termasuk menerusi Portal Lindung Faedah PERKESO yang dilancarkan pada April lalu.

“KESUMA juga sedang beralih kepada ekosistem digital yang lebih efisien seperti Portal Lindung Faedah PERKESO yang dilancarkan April 2026, yang membolehkan semua permohonan faedah dibuat dalam talian.

“Tiada lagi dokumen fizikal yang membebankan. Proses yang lebih mudah, lebih cepat dan lebih manusiawi,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.