Basikal tua, klasik tarik perhatian sempena Kayuhan Santai Neon 80 di Alor Setar

FOTO RTM

ALOR SETAR, 1 Mei – Puluhan basikal tua dan klasik yang pernah menjadi pengangkutan utama masyarakat suatu ketika dahulu, mencuri tumpuan dalam Program Kayuhan Santai Neon 80 yang menghimpunkan kira-kira 200 peserta di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program kerjasama RTM Kedah, JPJ Kedah dan Koperasi Pekan Rabu sempena ulang tahun RTM dan JPJ ke-80 serta 100 tahun Koperasi Pekan Rabu.
  • Konsep 'nostalgia moden' KEDAHfm bertema neon warna-warni untuk mendekatkan stesen dengan pendengar dan masyarakat setempat.
  • Program mempromosi gaya hidup sihat melalui berbasikal serta menjadi platform meningkatkan kesedaran dan pematuhan keselamatan jalan raya.

Program kerjasama strategik Radio Televisyen Malaysia (RTM) Kedah, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah dan Koperasi Pekan Rabu itu dianjurkan sempena sambutan Ulang Tahun Ke-80 RTM dan JPJ serta 100 tahun penubuhan Koperasi Pekan Rabu.

Acara berkenaan turut dimeriahkan dengan kehadiran Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya; Timbalan Pengarah Penyiaran Negeri Kedah, Rohani Musa; serta Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam.

Kayuhan bermula dari perkarangan Kompleks Penerangan dan Penyiaran Sultan Abdul Halim, Jalan Kuala Kedah menuju ke Kompleks Pekan Rabu, melibatkan jarak hampir lima kilometer.

Program itu disertai golongan remaja dan dewasa yang menunggang pelbagai jenis basikal termasuk road bike, basikal tua dan basikal klasik.

Selain memeriahkan sambutan bersejarah tiga agensi terbabit, program tersebut bertujuan menjadikan aktiviti berbasikal sebagai platform memupuk gaya hidup sihat serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penjagaan kesihatan.

Ketua Bahagian Rancangan KEDAHfm, Syahida Sabudin

Ketua Bahagian Rancangan KEDAHfm, Syahida Sabudin berkata, penganjuran program berkonsepkan “nostalgia moden” itu juga bertujuan mendekatkan KEDAHfm dengan pendengar serta masyarakat setempat.

“Jadi kita cuba menganjurkan satu program yang boleh mendekatkan KEDAHfm dan juga pendengar ataupun masyarakat setempat. Jadi kita adakan Kayuhan Santai Neon 80 sempena 80 tahun RTM.

“Konsep yang kita adakan untuk kayuhan ini ialah nostalgia moden, 80 tahun RTM dan 80 tahun akan datang. Dengan konsep neon warna-warni, kita mahu menggambarkan KEDAHfm sebagai platform pelbagai program yang mampu mewarnai kehidupan pendengar dan penonton,” katanya.

Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam

Sementara itu, Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata program tersebut turut menjadi medium terbaik untuk mempromosikan aspek keselamatan jalan raya khususnya dalam kalangan penunggang basikal.

“Program ini juga merupakan salah satu platform untuk kita mempromosikan keselamatan jalan raya terutama kepada penunggang basikal.

“Jadi malam ini kita harap semua peserta mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan memastikan mereka selamat sampai ke destinasi,” katanya.