Tiga individu dihukum PKM buang puntung rokok di tempat awam

FOTO SWCorp

KANGAR, 1 Mei – Tiga individu dikenakan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) selepas didapati bersalah membuang puntung rokok di tempat awam, sekali gus melanggar peruntukan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

RINGKASAN BERITA AI
  • Diarahkan menjalankan kerja pembersihan empat jam di Kangar Jaya di bawah pemantauan SWCorp.
  • SWCorp Perlis mengeluarkan 173 notis, 13 kes didakwa, kompaun keseluruhan RM7,200.
  • Akta 672 boleh kenakan denda sehingga RM2,000 atau PKM maksimum lapan jam; orang ramai diingatkan patuhi undang-undang dan jaga kebersihan.

Mereka diarahkan menjalankan kerja pembersihan kawasan awam melibatkan sapuan jalanan serta pembersihan longkang selama empat jam di sekitar Kangar Jaya, di bawah pemantauan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Pengarah SWCorp Negeri Perlis, Fadil Idris berkata sehingga kini sebanyak 173 notis kesalahan telah dikeluarkan di seluruh negeri membabitkan pelbagai kesalahan di bawah akta berkenaan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 13 kes telah didakwa di mahkamah dengan jumlah kompaun keseluruhan sebanyak RM7,200,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, di bawah Akta 672, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau hukuman PKM maksimum lapan jam.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan tegas, selain bersama-sama memelihara kebersihan kawasan awam demi kesejahteraan masyarakat.