Kematian kanak-kanak Orang Asli cetus huru-hara di Alice Springs

Penunjuk perasaan berkumpul di jalan-jalan Alice Springs, Australia, susulan penangkapan Jefferson Lewis yang dikaitkan dengan kematian Kumanjayi Little Baby/REUTERS

SYDNEY, 1 Mei – Ratusan penunjuk perasaan bertempur dengan pasukan perkhidmatan kecemasan Australia di sebuah bandar terpencil susulan insiden pembunuhan seorang kanak-kanak perempuan Orang Asli berusia lima tahun, menurut pihak polis pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kanak-kanak perempuan Orang Asli berusia lima tahun, dikenali sebagai Kumanjayi Little Baby, dilaporkan hilang dan mayatnya ditemui di kawasan gurun berhampiran Alice Springs.
  • Seorang lelaki, Jefferson Lewis, 47, ditahan selepas ditemui cedera parah; dibawa ke Darwin untuk keselamatan dan kemungkinan akan dihadapkan ke muka pengadilan.
  • Kekecohan berterusan di Alice Springs melibatkan penggunaan gas pemedih mata, pembakaran kenderaan, dan kecederaan kepada anggota polis serta petugas perubatan.

Kanak-kanak itu, yang kini dirujuk oleh keluarganya sebagai Kumanjayi Little Baby mengikut adat masyarakat Orang Asli, dilaporkan hilang dari kediamannya di pinggir Alice Springs pada malam Sabtu lalu.

Mayat mangsa ditemukan pada Khamis oleh kumpulan pencari di kawasan gurun sekitar bandar tersebut, yang merupakan destinasi pelancongan popular di Wilayah Utara Australia.

Polis menahan seorang lelaki berusia 47 tahun, Jefferson Lewis, yang disyaki membunuh kanak-kanak itu, selepas dia ditemui penduduk tempatan dalam keadaan cedera parah pada malam Khamis.

Ketua Polis Wilayah Utara, Martin Dole berkata, kira-kira 400 orang berkumpul di luar hospital di Alice Springs dan cuba memasuki bangunan tersebut.

“Lelaki itu telah dibawa ke Darwin untuk keselamatannya sendiri dan kemungkinan akan didakwa dalam beberapa hari akan datang,” katanya.

Media tempatan melaporkan polis menggunakan gas pemedih mata bagi menyuraikan kumpulan penunjuk perasaan, yang turut membaling objek dan membakar beberapa kenderaan, termasuk dua kereta polis.

Menurut Dole, dalam insiden itu, dua anggota polis dan dua petugas perubatan dilaporkan cedera.
Katanya, tindakan keganasan itu tidak mencerminkan kerjasama masyarakat yang sebelum ini membantu dalam operasi pencarian mangsa.

Australia sejak sekian lama berdepan cabaran dalam hubungan dengan masyarakat Orang Asli, yang membentuk kira-kira 3.8 peratus daripada populasi negara itu. – REUTERS