La liga: Barcelona kembali rampas kedudukan pendahulu

Kemenangan ke atas Levante mencerahkan harapan Barcelona untuk bergelar juara La Liga/ AFP

CAMP NOU, 23 Februari – Barcelona kembali merampas kedudukan teratas La Liga selepas mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Levante UD, pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Barcelona menang 3-0 ke atas Levante, merampas kembali kedudukan teratas La Liga.
  • Gol oleh Marc Bernal, Frenkie de Jong dan penyudah jarak jauh Fermin Lopez memastikan kemenangan selesa.
  • Kemenangan meletakkan Barca satu mata di hadapan Real Madrid selepas kekalahan Madrid kepada Osasuna.

Kemenangan tersebut hadir selepas Real Madrid tewas 2-1 kepada Osasuna pada Sabtu.

Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Hansi Flick melonjak satu mata di hadapan seteru tradisi, Real Madrid.

Pada perlawanan berkenaan, Marc Bernal dan Frenkie de Jong meletakkan Barca di hadapan dengan kelebihan selesa pada separuh masa pertama, sebelum Fermin Lopez melengkapkan kemenangan menerusi rembatan jarak jauh menarik pada lewat permainan.

Keputusan itu sedikit sebanyak mengubat kekecewaan Barcelona lega selepas dibelasah 4-0 oleh Atletico Madrid pada aksi separuh akhir pertama Copa del Rey minggu lalu sebelum tewas 2-1 kepada Girona dalam saingan liga pada Isnin.

“Ia detik yang sangat sukar buat kami tetapi hari ini kami memberikan reaksi yang baik,” kata Flick kepada wartawan.

“Penting untuk berada di puncak liga sekarang tetapi perjalanan masih panjang”, ujarnya.

Kekalahan menyaksikan Levante kekal tujuh mata di belakang zon selamat.

Dalam perlawanan lain pula, Sevilla menewaskan Getafe 1-0, manakala Celta Vigo menundukkan RCD Mallorca 2-0.

Valencia CF pula tewas 2-1 kepada Villarreal CF dalam aksi pertembungan setempat.

Villarreal yang dibimbing Marcelino Garcia Toral kini ketinggalan 10 mata di belakang Barcelona dan tiga mata di hadapan Atletico Madrid di tangga keempat. – AFP