Kerajaan perkukuh keanggotaan simpanan negara dengan nisbah 1:1

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

PETALING JAYA, 16 Februari – Keanggotaan simpanan negara akan diperkukuh secara berperingkat bagi memastikan kesiapsiagaan pertahanan lebih menyeluruh, selaras dengan keperluan keselamatan semasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menambah 50,000 anggota simpanan untuk capai nisbah 1:1 dengan anggota tetap menjelang 2033.
  • Daftar kira-kira 6,000 anggota simpanan baharu setiap tahun untuk memenuhi sasaran.
  • Fokus kepada kepakaran kritikal seperti keselamatan siber, media, infrastruktur dan sokongan majikan serta insentif.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ketika ini Tentera Darat Malaysia (TDM) mempunyai kira-kira 30,000 anggota simpanan, namun kerajaan menetapkan sasaran menambah 50,000 lagi bagi mencapai nisbah satu dengan satu antara anggota tetap dan simpanan menjelang tahun 2033.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan berusaha mendaftarkan sekitar 6,000 anggota simpanan baharu setiap tahun bagi memenuhi sasaran tersebut.

“Kita akan memberi tumpuan kepada sektor-sektor penting negara yang menghadapi ancaman dan cabaran, dengan kerjasama pakar-pakar dalam sektor tersebut. Contohnya, dalam keselamatan siber, kita berharap anak-anak muda yang pakar dalam IT dapat menyertai pasukan simpanan.

“Begitu juga dalam bidang media dan penyiaran, kita memerlukan sukarelawan atau anggota yang boleh menyertai pasukan simpanan dalam bidang penyiaran, komunikasi dan sebagainya. Ini antara usaha-usaha yang akan kita lakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Peluncuran Skuadron Rapid Rail, 50 Rejimen Pakar Kereta Api Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Askar Wataniah di sini.

Penglibatan kepakaran pelbagai sektor termasuk infrastruktur kritikal, teknologi dan komunikasi amat penting bagi memperkukuh konsep pertahanan menyeluruh negara, di samping memastikan tindak balas lebih pantas ketika krisis atau bencana.

Pada masa sama, kerajaan akan terus memperkasa ekosistem sokongan kepada anggota simpanan termasuk kerjasama majikan, insentif serta dasar yang lebih kondusif bagi menggalakkan penyertaan rakyat.

Datuk Seri Mohamed Khaled menegaskan matlamat utama adalah memastikan kekuatan anggota simpanan setara dengan anggota tetap supaya keupayaan mempertahankan negara sentiasa berada pada tahap optimum.