
KUALA TERENGGANU, 7 Februari– Karnival Jom Masuk Universiti (JMU) 2026 Zon Timur menjadi platform penting dalam mempertemukan pelajar, ibu bapa serta institusi pendidikan tinggi bagi memperkasa akses maklumat berkaitan kemasukan ke universiti.
- Karnival Jom Masuk Universiti 2026 Zon Timur memudahkan pelajar, ibu bapa dan IPT berkongsi maklumat kemasukan universiti.
- UMT dipilih sebagai tuan rumah, menyelaras pelaksanaan karnival di Terengganu.
- Acara menawarkan 76 reruai termasuk IPT awam, swasta, politeknik dan kolej komuniti.
- Karnival selari dengan RPTM 2026-2035, menekankan peluasan akses pendidikan, kebolehpasaran graduan dan TVET.
Bagi penganjuran kali ini, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dipilih sebagai tuan rumah bagi menyelaras pelaksanaan karnival tersebut di Terengganu.
Pro-Canselor UMT, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, program anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi itu merupakan sebahagian daripada siri jelajah ke 10 zon di seluruh negara yang berlangsung dari Januari hingga April 2026.
Pelbagai aktiviti berimpak tinggi ditawarkan kepada pengunjung, antaranya pameran institusi pengajian tinggi awam dan swasta, politeknik serta kolej komuniti menerusi 76 reruai yang disediakan dan dibuka sehingga esok.
Penganjuran karnival tersebut dilihat selari dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM 2026-2035) yang memberi penekanan kepada peluasan akses pendidikan, kebolehpasaran graduan, pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pendigitalan pendidikan tinggi.
“Dengan adanya platform seperti ini, pelajar berpeluang berinteraksi secara langsung dengan pihak universiti. Mereka bukan sahaja memperoleh maklumat yang lebih tepat, malah dapat memahami dengan jelas laluan pengajian serta keperluan sebenar industri.”
“Apa yang dipelajari di institusi pengajian tinggi tidak sepenuhnya seiring dengan keperluan dunia pekerjaan. Saya sendiri mempunyai pengalaman sedemikian, di mana terdapat ilmu yang tidak digunakan secara langsung dalam kerjaya.”
“Namun, dengan kemajuan teknologi masa kini, kita dituntut untuk terus melaksanakan pembelajaran berterusan. Walaupun seseorang telah menamatkan pengajian, proses menimba ilmu tidak seharusnya terhenti,” kata Tan Sri Mohd Zuki kepada pemberita, hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan Karnival Jom Masuk Universiti 2026 Zon Timur, di sini.
Sementara itu, Sambutan Jubli Perak 25 Tahun UMT turut dilancarkan, sekali gus menandakan pencapaian universiti berkenaan sebagai institusi pengajian tinggi berfokuskan sains marin dan sumber akuatik yang disegani di peringkat nasional serta antarabangsa.