
BESERI, 2 Februari – Sebanyak 1,600 Sekolah Agama Rakyat (SAR) meliputi sekolah agama dan premis Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di bawah kerajaan negeri serta institusi pendidikan Islam menerima peruntukan berjumlah RM150 juta sepanjang tahun lalu.
- RM150 juta disalur kepada 1,600 Sekolah Agama Rakyat tahun lalu melalui JAKIM untuk pelbagai keperluan.
- Peruntukan merangkumi enam kluster utama seperti infrastruktur, keselamatan, elektrik dan sistem perpaipan.
- Kementerian Kewangan salurkan RM370 juta untuk penyelenggaraan SAR pada 2023–2025.
- Tahun 2026 ditambah RM50 juta menjadikan jumlah keseluruhan RM200 juta bagi terus menaik taraf sekolah agama.
Bantuan yang disalurkan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu merangkumi enam kluster utama, antaranya penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur, keselamatan, pencegahan kebakaran, pendawaian elektrik, penyelenggaraan bangunan serta sistem perpaipan.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, sejak 2023 hingga 2025, Kementerian Kewangan telah menyalurkan peruntukan khas berjumlah RM370 juta bagi tujuan penyelenggaraan dan naik taraf SAR di seluruh negara.
“Tahun ini, 2026, kerajaan memperuntukkan tambahan RM50 juta menjadikan keseluruhan RM200 juta dan kita akan berusaha menyelenggara serta menaik taraf sekolah agama di seluruh negara. Alhamdulillah, hasil tinjauan hari ini, kita memperkenalkan sekolah-sekolah yang dibantu dengan tanda pagar #MADANIMembantu bagi memaklumkan bahawa inilah semangat MADANI untuk membantu sedaya upaya kepada semua yang memerlukan.”
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Ma’had Attarbiyah Al Islamiyah (MATRI), Beseri bagi meninjau kerja-kerja menaik taraf dan pembaikan prasarana di bawah Peruntukan Khas Kerajaan Persekutuan Selenggara dan Naik Taraf Institusi Pendidikan Islam berjumlah RM157,800.