CBP sambut baik peruntukan dana pemerkasaan koperasi 2026

Co-opbank Pertama (CBP).

KUALA LUMPUR, 31 Januari – Co-opbank Pertama (CBP) menyambut baik peruntukan sebanyak RM254 juta bagi pelaksanaan 28 program pembangunan koperasi sepanjang 2026 yang diumum Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), baru-baru ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • CBP menyokong peruntukan RM254 juta sebagai dorongan signifikan untuk perkembangan gerakan koperasi.
  • Peruntukan melalui geran dan pembiayaan akan memperkukuh kedudukan koperasi dalam ekonomi masyarakat.
  • CBP komited menyokong koperasi menerusi produk dan perkhidmatan seperti CBP CoSTART, deposit dan pembiayaan.
  • Peruntukan itu dianggap tanda penghargaan kerajaan dan komitmen memperkasa gerakan koperasi secara inklusif.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, peruntukan tersebut merupakan dorongan signifikan kepada gerakan koperasi untuk terus berkembang dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Menurut beliau, peruntukan yang disalurkan melalui geran dan pembiayaan itu mampu memperkukuh kedudukan koperasi sebagai antara sektor utama yang menyokong pembangunan ekonomi masyarakat.

“Sebagai sebuah bank koperasi, CBP melihat peruntukan ini memberi galakan kepada koperasi untuk terus menjadi salah satu sektor yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara menerusi geran dan pembiayaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut memaklumkan bahawa CBP akan terus menyokong gerakan koperasi di negara ini melalui pelbagai produk dan perkhidmatan yang ditawar, termasuk CBP CoSTART, produk deposit serta kemudahan pembiayaan.

Terdahulu, KUSKOP melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mengumumkan peruntukan RM254 juta bagi 28 program pembangunan koperasi sepanjang 2026, tertinggi sejak penubuhan gerakan koperasi pada 1922.

Mengulas lanjut, Khairil Anuar berkata, peruntukan itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkasa gerakan koperasi serta menyokong pertumbuhan ekonomi masyarakat secara inklusif.

“CBP melihat ini sebagai satu tanda penghargaan kerajaan kepada gerakan koperasi dan kami akan sentiasa membantu serta menyokong usaha murni kerajaan dalam membangunkan sektor koperasi di negara ini,” katanya.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan