
PARIT BUNTAR, 19 Januari – Sebanyak 20 buah motosikal musnah dalam satu kebakaran yang melibatkan sebuah rumah yang dijadikan stor penyimpanan di sini, awal pagi tadi.
- JBPM Perak dan pasukan bomba sukarela digerakkan ke lokasi bagi memadam kebakaran stor motosikal.
- Struktur rumah stor terbakar kira-kira 70 peratus dan 20 motosikal musnah, sebuah kereta rosak sekitar lima peratus.
- Tidak ada kecederaan atau kematian; api dikawal pada 2.50 pagi dan operasi tamat pada 5.50 pagi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.50 pagi.
Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Shazlean Mohd Hanafiah memaklumkan, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit Buntar digerakkan ke lokasi kejadian dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Parit Buntar, Bagan Serai, Bagan Tiang dan Kuala Kurau.
Setibanya di lokasi, JBPM mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah berkeluasan kira-kira 20 kali 70 kaki yang dijadikan stor penyimpanan motosikal serta peralatan berkaitan, dengan struktur berkenaan terbakar kira-kira 70 peratus.
Selain motosikal, sebuah kereta yang berada di lokasi kejadian turut mengalami kerosakan akibat kebakaran kira-kira lima peratus.
Kebakaran tersebut bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa.
Operasi pemadaman dilaksanakan menggunakan dua aliran hos sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air yang dibekalkan daripada tangki jentera JBPM.
Api berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 2.50 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 5.50 pagi.