Osaka sasar gelaran ketiga Terbuka Australia

Pemain tenis wanita Jepun, Naomi Osaka/Foto REUTERS

MELBOURNE, 16 Januari – Bekas pemain nombor satu dunia, Naomi Osaka berazam tampil lebih agresif pada Terbuka Australia tahun ini dalam usaha untuk merangkul gelaran buat kali ketiga.

RINGKASAN BERITA AI
  • Naomi Osaka berazam tampil lebih agresif untuk merangkul gelaran Terbuka Australia ketiga.
  • Beliau mengaku berdepan masalah prestasi, kecergasan dan konsistensi sejak lima tahun lalu.
  • Osaka menunjukkan kebangkitan dengan mara ke separuh akhir Terbuka AS tahun lalu.
  • Dia puas hati dengan peningkatan pertahanan tetapi mahu menyerang dengan lebih yakin.

Pemain dari Jepun itu mengakui beliau berdepan kesukaran dari segi prestasi, kecergasan dan konsistensi sejak memenangi gelaran Grand Slam keempatnya lima tahun lalu.

Ketika ini, Osaka berada di ranking ke-16 dunia, namun mempamerkan kebangkitan prestasi apabila mara ke separuh akhir Terbuka Amerika Syarikat tahun lalu.

Juara di Melbourne pada 2019 dan 2021 itu dijadual menentang pemain Croatia, Antonia Ruzic pada pusingan pertama.

Dalam pada itu, Osaka percaya terdapat peningkatan dalam beberapa aspek permainannya, termasuk pertahanan serta berpuas hati dengan prestasi awal musim meskipun tewas kepada Maria Sakkari di Piala United bulan ini ketika mengalami masalah kesihatan.

“Apabila saya mengimbas semula perlawanan itu, saya teringat bagaimana saya sukar bernafas kerana batuk yang teruk,” kata pemain berusia 28 tahun itu.

“Saya hanya mahu bermain dengan lebih agresif dan tegas. Pertahanan saya kini lebih baik, tetapi saya mahu menyerang dengan lebih yakin,” tambahnya.

Terbuka Australia akan bermula pada Ahad ini. – AFP