
WASHINGTON, 16 Januari – Amerika Syarikat telah mengenakan sekatan terhadap pegawai keselamatan dan rangkaian kewangan Iran, susulan protes di negara berkenaan.
- AS kenakan sekatan terhadap pegawai keselamatan dan rangkaian kewangan Iran berikutan tindakan keras terhadap protes.
- Ali Larijani dan empat komander Pasukan Penguatkuasaan Undang-undang serta Pengawal Revolusi disenarai hitam kerana disyaki menganjurkan keganasan.
- 18 individu dan entiti dituduh mengendalikan rangkaian "perbankan bayangan" untuk pengubahan wang hasil jualan minyak Iran.
- Larangan dagangan untuk rakyat AS dan potensi sekatan sekunder ke atas institusi asing sebagai bahagian dari kempen tekanan maksimum.
Langkah diambil selepas Washington menuduh mereka mengenakan tindakan keras terhadap peserta protes selain tuduhan pengubahan wang haram daripada hasil minyak.
Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent berkata, tindakan diambil atas arahan Presiden Donald Trump.
Antara mereka yang dikenakan sekatan ialah Setiausaha Majlis Tertinggi Keselamatan Negara Iran, Ali Larijani yang dituduh Washington menyelaras dan menyeru kekerasan terhadap penunjuk perasaan.
Empat komander wilayah Pasukan Penguatkuasaan Undang-undang Iran dan Pengawal Revolusi juga dikenakan sekatan kerana didakwa memainkan peranan sama menggunakan kekerasan.
Selain itu, Jabatan Perbendaharaan Amerika menetapkan 18 individu dan entiti selepas dituduh melakukan pengubahan wang haram dengan mengendalikan rangkaian “perbankan bayangan” hasil daripada jualan minyak Iran melalui syarikat-syarikat di UAE, Singapura dan Britain.
Dengan pengumuman itu, rakyat Amerika dilarang daripada menjalankan perniagaan dengan mereka manakala institusi kewangan asing berisiko akan dikenakan sekatan sekunder jika melakukan transaksi dengan entiti terbabit.
Tindakan ini diambil berdasarkan kempen “tekanan maksimum” pentadbiran Trump terhadap Iran.
Pada 2025, Perbendaharaan mengenakan sekatan ke atas lebih 875 orang, kapal dan pesawat sebagai sebahagian daripada usaha berkenaan. – AFP