
PELABUHAN KLANG, 11 Januari – Cubaan menyeludup masuk 27 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke negara ini gagal apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas C di perairan Sungai Besar, awal pagi semalam.
- Maritim Selangor menahan sebuah VNT kelas C dan menggagalkan cubaan seludup 27 PATI di perairan Sungai Besar.
- Pemeriksaan mendapati tekong dan dua awak warga Indonesia, serta 27 PATI (20 lelaki, 7 wanita) berusia 22–70 tahun.
- Kes disiasat di bawah Akta Imigresen, ATIPSOM dan Akta Perikanan; agensi menggesa orang ramai beri maklumat.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, penahanan dibuat hasil risikan ibu pejabat selepas kapal terbabit dikesan bergerak mencurigakan sekitar pukul 12.35 tengah malam ketika menghampiri muara Sungai Besar.
“Dia punya modus operandi dah berubah. Dia guna bot nelayan, mereka tunggu di laut dan akan buat pemindahan di tengah laut, di kawasan trafik antara sempadan kita dengan Indonesia,” katanya dalam satu sidang media di sini pagi tadi.
Menurutnya lagi, kapal terbabit terbabit enggan memberi kerjasama dan berlaku pergelutan ketika pemeriksaan, sebelum tekong bertindak terjun ke laut untuk melarikan diri namun berjaya ditahan.
Kapal itu kemudiannya tersangkut kira-kira satu batu nautika barat daya muara Sungai Besar akibat air surut.
Hasil pemeriksaan mendapati kapal berkenaan dikendalikan seorang tekong dan dua awak-awak warga Indonesia, selain membawa 27 PATI terdiri daripada 20 lelaki dan tujuh wanita berusia antara 22 hingga 70 tahun.
Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) serta Akta Perikanan 1985.
Kesemua suspek bersama kapal tersebut ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk tindakan lanjut.
Tegas Kepten Maritim Abdul Muhaimin, Maritim Malaysia akan terus memperketat kawalan bagi membanteras jenayah rentas sempadan dan menggesa orang ramai menyalurkan maklumat ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor.