(Skuad Selangor FC bawah 19 tahun dinobatkan sebagai juara Piala Belia 2022/FOTO FB Selangor FC)
TEMERLOH, 27 Ogos - Di sebalik prestasi kurang memberansangkan skuad Selangor FC.
Pasukan Bawah 19 Tahun negeri itu memberi kegembiraan buat penyokong apabila menjuarai Piala Belia 2022.
Kejayaan itu dicapai selepas mereka menundukkan Sri Pahang FC dengan agregat 2-1 pada aksi final.
Selangor turun beraksi di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh dengan bekalan 1 gol selepas menang tipis ke atas Sri Pahang pada aksi final pertama di Stadium UiTM, Shah Alam, Sabtu lalu.
Pada pertemuan semalam, kedua-dua pasukan saling mengatur gerakan untuk menghasilkan gol, namun babak pertama berakhir tanpa sebarang jaringan.
Selangor FC akhirnya berjaya membuka jaringan pada minit ke-67 apabila sepakan percuma dari luar kotak penalti oleh Muhammad Amirul Haziq berjaya menggegar gawang tuan rumah.
Jaringan itu tidak mematahkan semangat Sri Pahang yang cuba memburu gol penyamaan.
(Pasukan Sri Pahang FC/FOTO FB Pahang FC)
Usaha tersebut akhirnya membuahkan hasil menerusi percubaan jarak jauh Nazul Izamil Zulkifli pada minit ke-73.
Tok Gajah kemudian terus melancarkan asakan bertali arus bagi menambah jaringan sehingga hujung perlawanan, namun terpaksa akur dengan keputusan 1 sama sehingga tamat permainan sekaligus memberi kemenangan 2-1 secara agregat kepada Selangor FC.