
SEGAMAT, 24 Jun – Kerajaan meluluskan bantuan bagi pembangunan pendidikan agama Islam di Johor menerusi 16 projek baik pulih infrastruktur asas melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM3.205 juta.
- Peruntukan diberikan kepada institusi pondok dan madrasah, contohnya Pusat Pengajian Pondok KH Haji Sohairi (RM350,000), Madrasah Pondok Hasanah Islamiah (RM500,000).
- Perdana Menteri menegaskan perbezaan kaum, budaya dan agama tidak patut memecahbelahkan masyarakat, sebaliknya perlu diraikan sebagai kekuatan negara.
- Kerajaan meluluskan RM1 juta untuk kerja baik pulih kritikal dan naik taraf empat kuarters kediaman serta sebuah balai PDRM di Johor Bahru dan Muar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu akan dimanfaatkan oleh institusi pendidikan agama Islam, termasuk sekolah pondok dan madrasah, bagi menambah baik kemudahan serta keselesaan pelajar.
“Antara institusi yang menerima peruntukan ialah Pusat Pengajian Pondok KH Haji Sohairi di Batu Pahat sebanyak RM350,000 serta Pondok Pengajian Al Ahmad (RM150,000).
Selain Madrasah Pondok Hasanah Islamiah (RM500,000), Madrasah Al Jagan (RM300,000) dan Pusat Pengajian Al Fatihah (RM200,000),” katanya pada Program MADANI KITA bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Dataran Segamat hari ini.
Perdana Menteri berkata, perbezaan kaum, budaya dan agama tidak seharusnya dijadikan alasan untuk memecahbelahkan masyarakat, sebaliknya perlu diraikan sebagai kekuatan negara.
Selain itu katanya, kerajaan turut meluluskan peruntukan RM1.0 juta bagi kerja baik pulih kritikal dan naik taraf mendesak melibatkan empat kuarters kediaman serta sebuah bangunan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Johor Bahru dan Muar.
Lokasi terlibat ialah, Kediaman PDRM di Taman Melur, Taman Kenanga, Taman Melati, Balai Polis Tampoi, serta Ibu Pejabat Polis Daerah Muar.