
SEGAMAT, 24 Jun – Kerajaan bersetuju menaikkan peruntukan tahunan bagi setiap Kawasan Rukun Tetangga (KRT) daripada RM6,000 kepada RM10,000, berkuat kuasa mulai 1 Januari tahun depan.
- KRT penting dalam memupuk semangat kejiranan dan menjadi benteng menentang usaha yang memecahbelahkan masyarakat.
- Kekuatan jaringan KRT: lebih 200,000 anggota jawatankuasa, liputan komuniti sekitar 12.9 juta penduduk.
- 453 KRT dimodelkan sebagai Penggerak Komuniti Progresif 2024-2025, dan 113 lagi bakal menerima pengiktirafan tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan itu merupakan yang pertama dalam tempoh 10 tahun sebagai usaha memperkukuh peranan KRT dalam memupuk perpaduan dan keharmonian masyarakat.
Menurut beliau, KRT memainkan peranan penting dalam membina semangat kejiranan serta menjadi benteng terhadap sebarang usaha yang boleh memecahbelahkan rakyat.
“Kita ada lebih 200,000 anggota jawatankuasa KRT dengan liputan komuniti mencecah 12.9 juta penduduk. Kekuatan ini boleh digunakan untuk menangkis sebarang usaha menghasut dan memecahbelahkan masyarakat, selain membina kekuatan baharu dalam komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program MADANI KITA bersama KRT di Dataran Segamat, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Perpaduan, R. Yuneswaran serta Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh.
Ketika ini, terdapat 8,615 KRT di seluruh negara dengan keanggotaan melebihi 250,000 orang dan sepanjang tahun lalu, sebanyak 100,000 aktiviti komuniti dilaksanakan menerusi KRT.
Selain itu, sebanyak 453 KRT telah dimodelkan sebagai Penggerak Komuniti Progresif sepanjang 2024 dan 2025, manakala 113 lagi KRT akan menerima pengiktirafan sama tahun ini.