BN Johor umum 56 calon PRN, kekal majoriti penyandang

Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada Majlis Pengumuman Calon BN di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Johor, di sini / Foto ihsan FB UMNO Online

JOHOR BAHRU, 24 Jun – Barisan Nasional (BN) Johor mengekalkan sebahagian besar penyandang dan barisan kepimpinan kerajaan negeri dalam senarai 56 calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.

RINGKASAN BERITA AI
  • Senarai calon: 37 UMNO, 15 MCA, empat MIC.
  • Pemilihan calon berdasarkan rekod perkhidmatan, kemampuan memimpin dan penerimaan akar umbi, dengan persetujuan Pengerusi BN.
  • Onn Hafiz akan mempertahankan kerusi DUN Machap; Datuk Seri Dr Adham Baba dicalonkan di DUN Pasir Raja.
  • Hasni Mohammad tidak dicalonkan; Mohd Sumali Reduan menggantikan di Benut. Penamaan Sabtu; pengundian 11 Julai.

Senarai calon yang terdiri daripada 37 calon UMNO, 15 MCA dan empat MIC itu diumumkan Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada Majlis Pengumuman Calon BN di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Johor, di sini, hari ini.

Datuk Onn Hafiz berkata, pemilihan calon dibuat berdasarkan rekod perkhidmatan, kemampuan memimpin dan penerimaan rakyat di peringkat akar umbi, selain mendapat mandat serta persetujuan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Marilah kita menawarkan kepada rakyat sebuah kerajaan yang stabil, jelas prinsipnya, jelas visinya, tersusun pentadbirannya dan mampu meneruskan kemajuan Maju Johor 2030.

“Nilailah kami berdasarkan kerja, pencapaian dan perancangan untuk masa hadapan. Ayuh, Bangsa Johor, usah kita menoleh ke belakang lagi. Marilah kita merapatkan saf, bergerak sederap dan bekerja sebagai satu pasukan,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap yang dimenanginya pada PRN 2022.

Turut mencuri tumpuan ialah pencalonan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba di DUN Pasir Raja.

Datuk Seri Dr Adham yang juga Ketua UMNO Bahagian Tenggara pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Raja selama dua penggal dari 2008 hingga 2018, selain pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Tenggara selama dua penggal.

Sementara itu, bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad yang juga penyandang DUN Benut tidak dicalonkan pada PRN kali ini.

Sebagai ganti, BN mempertaruhkan Setiausaha Kerja UMNO Malaysia, Datuk Mohd Sumali Reduan untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

Proses penamaan calon dijadual berlangsung Sabtu ini, manakala hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai depan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.