Pelancongan domestik penyumbang penting ekonomi setempat

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Tourism Malaysia melancarkan kempen pelancongan domestik dengan memanfaatkan platform bas persiaran di ibu negara bagi mempromosikan tarikan pelancongan di seluruh negara kepada rakyat Malaysia dan pelawat, terutama ketika Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelancongan domestik kekal penyumbang penting kepada pertumbuhan industri dan pembangunan ekonomi komuniti setempat.
  • Inisiatif meningkatkan kesedaran mengenai pelbagai produk dan tarikan pelancongan di seluruh negara.
  • Kempen memanfaatkan kod QR membolehkan orang ramai mengakses maklumat, kalendar acara, pakej serta promosi.
  • Pada 2025 sektor pelancongan domestik merekodkan pertumbuhan pengunjung dan perbelanjaan, menyokong pemulihan dan pengembangan industri.

Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, pelancongan domestik kekal sebagai penyumbang penting kepada pertumbuhan industri pelancongan negara serta pembangunan ekonomi komuniti setempat.

Beliau berkata inisiatif berkenaan turut menyokong usaha meningkatkan kesedaran mengenai pelbagai produk dan tarikan pelancongan yang terdapat di seluruh negara.

“Pelancongan domestik memainkan peranan penting dalam merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan dan menyokong pembangunan komuniti.

“Usaha menggalakkan rakyat meneroka destinasi dalam negara juga dapat memperkukuh penyertaan industri serta memperkayakan pengalaman pelancongan yang ditawarkan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika merasmikan pelancaran kempen berkenaan di Plaza Sungei Wang, di sini hari ini.

Menerusi kempen itu, enam bas pelancongan di ibu negara akan memaparkan visual promosi yang mengetengahkan destinasi pelancongan dari 15 negeri dan wilayah persekutuan sebagai usaha meningkatkan keterlihatan produk pelancongan domestik.

Kempen itu turut memanfaatkan penggunaan kod QR yang membolehkan orang ramai mengakses maklumat berkaitan TMM 2026 termasuk kalendar acara, pakej pelancongan serta promosi yang ditawarkan di seluruh negara.

Menurut beliau, Kuala Lumpur terus memainkan peranan sebagai pintu masuk utama pelancongan negara dengan menawarkan gabungan elemen warisan, budaya, gastronomi, membeli-belah dan pengalaman bandar moden.

Tambahnya, pendekatan berasaskan pengalaman dan kemudahan akses mampu meningkatkan penglibatan pelawat serta menyokong usaha mempelbagaikan produk pelancongan negara.

Pada 2025, sektor pelancongan domestik mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan apabila merekodkan 290.1 juta pelawat berbanding 260.1 juta pada tahun sebelumnya; peningkatan sebanyak 21.3 peratus.

Jumlah perbelanjaan pelancongan domestik turut meningkat kepada RM121 bilion berbanding RM106.7 bilion pada 2024.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.