Datuk Yasmeen dipilih semula anggota Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak PBB

Datuk Yasmeen Muhamad Shariff dipilih semula sebagai anggota Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak PBB bagi penggal 2027-2031.

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Datuk Yasmeen Muhamad Shariff dipilih semula sebagai anggota Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak bagi penggal 2027 hingga 2031 dalam pemilihan yang berlangsung sempena Mesyuarat Negara-Negara Pihak Ke-21 kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Beliau memperoleh 136 undi daripada 189 Negara Pihak, meraih undi tertinggi dalam pemilihan.
  • Ini kali kedua Datuk Yasmeen menganggotai jawatankuasa selepas penggal 2013 hingga 2017.
  • Kementerian Luar: pemilihan mencerminkan keyakinan antarabangsa terhadap kepakaran dan dedikasi beliau.
  • Beliau akan berkhidmat sebagai pakar bebas, memantau pelaksanaan konvensyen dan mempromosi pendekatan berasaskan hak kanak-kanak.

Beliau memperoleh 136 undi daripada 189 Negara Pihak yang hadir dan mengundi, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai calon yang meraih jumlah undi tertinggi dalam pemilihan berkenaan.

Ini merupakan kali kedua Datuk Yasmeen dipilih menganggotai jawatankuasa tersebut selepas pernah berkhidmat bagi penggal 2013 hingga 2017.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, pemilihan itu mencerminkan keyakinan dan kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadap kepakaran serta dedikasi beliau dalam memajukan hak dan kesejahteraan kanak-kanak.

“Ia juga merupakan pengiktirafan terhadap usaha berterusan Malaysia dalam memajukan hak kanak-kanak menerusi dasar yang inklusif, reformasi perundangan serta pelbagai program yang bertujuan memastikan setiap kanak-kanak diberi peluang untuk mencapai potensi sepenuhnya,” menurut kenyataan itu.

Kementerian turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat atas kerjasama erat serta usaha berterusan dalam menyokong pencalonan Malaysia sehingga membawa kepada kejayaan pemilihan Yasmeen.

Sebagai anggota jawatankuasa berkenaan, beliau akan berkhidmat atas kapasiti peribadi sebagai pakar bebas dan menyumbang kepada mandat jawatankuasa dalam memantau pelaksanaan konvensyen, melibatkan diri dalam dialog konstruktif bersama negara-negara pihak serta mempromosikan pendekatan berasaskan hak dalam menangani isu yang menjejaskan kanak-kanak di peringkat global.

Menurut kementerian itu, Malaysia kekal komited dalam mempromosi dan melindungi hak kanak-kanak selaras dengan prinsip serta peruntukan konvensyen berkenaan, selain akan terus bekerjasama secara konstruktif dengan semua pihak berkepentingan dalam menangani cabaran semasa yang memberi kesan kepada golongan itu.

“Dalam landskap global yang semakin kompleks ketika ini, peranan Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak kekal penting dalam mempertahankan hak, maruah dan masa depan semua kanak-kanak,” menurut kenyataan itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.