
KUALA LUMPUR, 24 Jun – Usaha memartabatkan teater tradisonal Mak Yong sebagai warisan seni dan budaya negara terus diperhebat.
- Menggabungkan teks Shakespeare dengan Mak Yong kerana persamaan elemen istana, mistik dan watak alam kayangan, sesuai untuk adaptasi.
- Penggunaan dwi bahasa Melayu-Inggeris dan dialek negeri memperjelas dialog, menarik penonton serta menonjolkan identiti Satu Malaysia dalam pementasan.
- Matlamat memartabatkan Mak Yong ke peringkat antarabangsa, melahirkan bakat baharu dan memastikan kelestarian teater tradisional.
Pengiktirafan Mak Yong sebagai warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) membuka ruang untuk karya seni rentas budaya, hasil gabungan teks drama komedi karya William Shakespeare.
Pengarah Teater, Prof. Madya Dr Norzizi Zulkifli berkata usaha memartabatkan seni Mak Yong ke mata dunia memerlukan adaptasi dan sedikit kelainan bagi menarik minat penggemar teater antarabangsa.
“Karya Shakespeare dianggap sebagai sastera klasik kerana kebanyakannya ditulis pada zaman pemerintahan Ratu Elizabeth dan Raja James.
“Oleh sebab itu, banyak dramanya mengandungi unsur istana, pemerintahan dan kisah golongan bangsawan atau raja-raja.
“Elemen sedemikian menjadikannya sesuai dijadikan bahan adaptasi kerana mempunyai penggunaan bahasa istana seperti ‘tuanku’ dan ‘patik’.
“Dalam karya Shakespeare terdapat unsur-unsur mistik. Contohnya dalam Macbeth, terdapat watak ahli sihir yang membuat ramalan kepada Macbeth.
“Selain itu, dalam A Midsummer Night’s Dream terdapat watak Oberon dan Titania, iaitu raja dan ratu pari-pari dari alam kayangan.
“Unsur sedemikian mempunyai persamaan dengan Mak Yong yang turut menampilkan watak raja, dewa dan alam kayangan,” katanya.
Beliau ditemui selepas pementasan ‘Mak Yong Shakespeare: The Comedy of Errors- an adaptation di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) di sini.
Menurutnya, konsep pementasan kali ini memperlihatkan pertembungan dua budaya dengan penggunaan dwi bahasa Melayu-Inggeris sebagai medium komunikasi pentas tanpa mengubah sama sekali identiti dan estetika seni teater Mak Yong.
“Saya fikir untuk pementasan Mak Yong Shakespeare kali ini, saya mahu mengadunkan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.
“Ini kerana kebanyakan pelakon berasal dari Kelantan dan menggunakan dialek yang agak pekat serta pertuturan yang laju, jadi saya bimbang penonton sukar memahami dialog.
“Oleh itu, saya mahu mempelbagaikan penggunaan bahasa dengan mengekalkan bahasa Melayu standard sebagai bahasa utama.
“Pada masa sama, saya juga bercadang menggabungkan beberapa dialek daerah lain seperti dialek Negeri Sembilan memandangkan terdapat pelakon berasal dari negeri itu.
“Saya fikir pendekatan ini dapat menampilkan identiti ‘Satu Malaysia’ dalam pementasan tersebut,” katanya lagi.
Penggunaan teks Shakespeare dilihat sebagai satu alternatif untuk memperluas penceritaan Mak Yong yang menjamin kelestarian teater tradisional Melayu.
Beliau yakin, usaha serta idea yang ditampilkan itu mampu meraih minat para penggemar seni teater tempatan dan antarabangsa, sekali gus memartabatkan warisan seni negara agar terus dikenali di mata dunia.
“Saya kira ia merupakan batu loncatan dan satu inovasi yang cuba dilakukan terhadap teater tradisional kita dengan mengambil cerita bertaraf global.
“Mungkin orang ramai teringin untuk menonton Mak Yong, manakala Shakespeare pula menjadi daya penarik yang membuatkan penonton mahu melihat bagaimana karya tersebut dipersembahkan dalam ruang lingkup kesenian tradisional.
“Jadi, itu juga antara usaha pelestarian seni teater tradisional Mak Yong yang saya fikir boleh dikembangkan dengan menggunakan cerita-cerita lain,” katanya.
Beliau juga turut merancang untuk menampilkan bakat-bakat baharu dari pelbagai bangsa untuk pementasan teater Mak Yong akan datang mengikut kesesuaian projek yang ditampilkan.
Pementasan penuh teater ‘Mak Yong Shakespeare: The Comedy Of Errors – An Adaptation’ akan menemui penggemar karya seni itu pada 25 Julai ini dengan kerjasama Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) dan Fakulti Filem, Teater dan Animasi UiTM.