
KUALA LUMPUR, 22 Jun – Penantian peminat muzik heavy metal tempatan akhirnya berakhir apabila kumpulan metal wanita sensasi dari Jepun, Lovebites, disahkan bakal mengadakan konsert sulung mereka di Malaysia pada Oktober ini.
- Pengumuman Rockstage Entertainment mencetuskan keterujaan komuniti metal tempatan yang berkembang aktif.
- Lovebites, dianggotai Asami, Midori, Miyako, Fami dan Haruna, terkenal gabungan power, speed dan melodic metal serta kemahiran teknikal bertaraf dunia.
- Penganjur giat sediakan produksi skala penuh bagi pengalaman audio visual bertaraf antarabangsa; tiket boleh dibeli melalui MyTicket Empire.
Konsert Lovebites: Outstanding Tour Live In Kuala Lumpur dijadual berlangsung pada 4 Oktober di Zepp Kuala Lumpur.
Sekali gus menandakan kemunculan pertama kumpulan itu di hadapan peminat Malaysia.
Pengumuman oleh Rockstage Entertainment mencetuskan keterujaan dalam kalangan peminat muzik metal tempatan yang sekian lama menantikan kehadiran kumpulan berpengaruh tersebut selepas kejayaan mereka menembusi pentas antarabangsa.
Dianggotai oleh Asami, Midori, Miyako, Fami dan Haruna, Lovebites terkenal dengan gabungan elemen power metal, speed metal dan melodic metal yang bertenaga, selain kemahiran teknikal bertaraf dunia yang menjadi identiti utama mereka.
Menurut Pengarah Rockstage Entertainment, Talib Othman, penganjuran konsert itu adalah hasil permintaan berterusan daripada komuniti metal tempatan yang semakin berkembang dan aktif.
“Kami selaku pihak penganjur kini giat melakukan persiapan produksi berskala penuh bagi memastikan pengalaman audio dan visual bertaraf antarabangsa dapat dinikmati peminat, setanding dengan persembahan yang pernah dibawakan kumpulan itu di Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat,” katanya.
Sepanjang karier mereka, Lovebites telah menghasilkan beberapa album yang menerima pujian pengkritik serta peminat, antaranya Awakening From Abyss, Electric Pentagram, Judgement Day dan Lovebites EP II.
Peminat juga boleh menjangkakan persembahan lagu-lagu popular seperti Holy War, When Destinies Align, The Hammer of Wrath, Shadowmaker, Judgement Day dan We The United, yang sering menjadi kemuncak setiap persembahan mereka.
Dengan reputasi global yang semakin kukuh, kemahiran muzik luar biasa serta tenaga persembahan yang memukau, 4 Oktober dijangka menjadi malam bersejarah buat komuniti metal tempatan apabila “Metal Queens” dari Jepun itu akhirnya membawa ledakan pertama mereka ke Kuala Lumpur.
Tiket konsert kini boleh didapati menerusi platform MyTicket Empire.