Industri seni negara kehilangan pelakon karakter terbaik, SENIMAN rakam ucapan takziah kepada keluarga Cik Man

Watak ‘Cik Man’ kekal antara karakter paling ikonik

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) menyifatkan pemergian pelakon veteran, Allahyarham Kamarool Yusoff sebagai kehilangan besar kepada industri seni tanah air.

RINGKASAN BERITA AI
  • Berjaya mencipta nama sebagai salah seorang pelakon karakter terbaik dengan gaya lakonan bersahaja dan loghat Kelantan, berkarier lebih empat dekad.
  • Watak "Cik Man" dalam trilogi filem Rock arahan Mamat Khalid kekal sebagai salah satu karakter paling ikonik perfileman Malaysia.
  • Dedikasi, disiplin dan komitmennya dihormati; legasi karya jadi khazanah seni negara, SENIMAN merakam ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Setiausaha Agungnya, Hafiz Nafiah menerusi kenyataan berkata Allahyarham Kamarool yang lebih dikenali sebagai Cik Man telah mencipta nama sebagai antara pelakon karakter terbaik negara.

“Sepanjang lebih empat dekad bergiat aktif dalam dunia lakonan, Allahyarham Kamarool telah mencipta nama sebagai antara pelakon karakter terbaik negara dengan gaya lakonan yang bersahaja, penuh jiwa dan cukup sinonim dengan loghat Kelantan yang menjadi identitinya,”katanya.

Allahyarham Kamarool mula mencipta nama menerusi watak Farouk dalam filem Gila-Gila Remaja pada 1986 sebelum membintangi pelbagai karya lain termasuk Rozana Cinta 87, Rock, Rock Oo!, Rock Bro!, Tiada Tajuk, Cerita Hantu Malaysia, Mael Totey The Movie, Abu Si Raksasa dan drama bersiri Banyak Chanteq.

Watak “Cik Man” dalam trilogi filem “Rock” arahan Allahyarham Mamat Khalid pula kekal menjadi antara karakter paling ikonik dalam sejarah perfileman Malaysia.

Hafiz turut berkata dedikasi, disiplin dan komitmen Allahyarham Kamarool dalam dunia seni telah menjadikannya seorang seniman yang amat dihormati, manakala legasi karya yang ditinggalkan akan terus menjadi khazanah seni negara.

SENIMAN turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Kamarool.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.