“Puteri Gunung Ledang The Musical” kembali, tiket mula dijual

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Legenda pentas muzikal negara kembali menghangatkan industri seni apabila ‘Puteri Gunung Ledang The Musical’ mencetuskan fenomena sebaik sahaja jualan tiket dibuka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Barisan pelakon diumumkan di Astro Meletop, mencetuskan keterujaan penonton dan lonjakan permintaan tiket di media sosial.
  • Produksi oleh Enfiniti di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre, Sunway Square, dipentaskan 31 Oktober hingga 15 November 2026.
  • Aisha Retno dan Mila Mohsin berkongsi watak Puteri, Aqasha sebagai Hang Tuah; turut membarisi Mimi Fly dan bakat baharu lain.
  • Tiket laris; keutamaan 72 jam untuk pemegang kad AFFIN mula 18 Ogos, jualan umum dibuka 21 Ogos.

Keterujaan penonton jelas terpancar di media sosial susulan pengumuman barisan pelakon di dalam sebuah program hiburan, dengan ramai peminat dilihat berlumba-lumba mendapatkan tempat bagi menyaksikan pementasan yang dijangka menjadi antara produksi teater terbesar tahun ini.

Diterbitkan oleh Enfiniti dan dipersembahkan di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway Square, pementasan berskala besar itu bakal berlangsung dari 31 Oktober hingga 15 November 2026.

Produksi terbaharu ini menampilkan gabungan mantap artis berpengalaman dan bakat baharu, dengan Aisha Retno dan Mila Mohsin menggalas watak Puteri Gunung Ledang, manakala Aqasha membawa peranan Hang Tuah.

Turut membarisi pelakon ialah Mimi Fly, Nadia Aqilah, Luqman Hafidz dan Yusof Hashim.

Permintaan terhadap tiket dilaporkan tinggi apabila pertanyaan membanjiri platform seperti Threads, Instagram dan TikTok, selain tempahan awal oleh syarikat korporat bagi persembahan berkumpulan.

Menurut Penerbit Eksekutif Bersama merangkap Pengarah, Tiara Jacquelina, sambutan luar biasa itu memberi makna besar kepada seluruh pasukan produksi selepas kali terakhir Enfiniti mementaskan muzikal lapan tahun lalu menerusi ‘OlaBola The Musical’.

“Ini detik yang sangat emosional. Melihat reaksi penonton di media sosial dan sambutan yang tidak putus-putus benar-benar mengujakan,” katanya.

Tambah beliau, produksi tersebut telah melalui fasa pembangunan rapi termasuk bengkel imersi budaya Jawa selama 10 hari bagi memperkukuh pemahaman pelakon terhadap latar dan tradisi karya itu.

Latihan penuh dijadual bermula pada 17 Ogos, menandakan fasa penting menjelang malam pembukaan.

Tiket akan mula ditawarkan dengan tempoh tempahan keutamaan eksklusif selama 72 jam kepada pemegang kad AFFIN bermula 18 Ogos, sebelum jualan umum dibuka pada 21 Ogos.

Orang ramai disaran mendapatkan tiket lebih awal memandangkan permintaan yang terus meningkat bagi menyaksikan pementasan epik yang mengangkat kisah cinta, pengorbanan dan takdir itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.