Istana Budaya kini ‘berwajah baharu’ selepas dinaik taraf

Atap Istana Negara kini telah dicat dengan warna baharu dan mengekalkan identiti warna asal/Foto Istana Negara

KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Istana Budaya kini berwajah baharu selepas kerja pembaikan dan naik taraf yang menelan peruntukan RM80 juta, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai mercu seni persembahan negara dan hab seni serantau.

RINGKASAN BERITA AI
  • Naik taraf fasiliti penting untuk memastikan Istana Budaya terus berdaya saing di peringkat antarabangsa.
  • Kerajaan mahu program berkualiti antarabangsa yang menjana pendapatan tinggi untuk pulangan lumayan kepada Istana Budaya dan penganjur.
  • Fasiliti bertambah baik dan pengisian program dijangka menjadi pemangkin pembangunan industri kreatif serta menyokong Kempen Melawat Malaysia 2026 dan 2027.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, naik taraf fasiliti itu penting bagi memastikan Istana Budaya terus berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Katanya, kerajaan mahu Istana Budaya bukan sahaja mempunyai fasiliti bertaraf dunia, malah mampu menjana pendapatan menerusi penganjuran program berkualiti tinggi.

“Setakat bertaraf dunia itu masih tidak mencukupi. Kita mahu apa-apa program yang dibuat di Istana Budaya ini mampu memberi pulangan yang amat lumayan kepada Istana Budaya itu sendiri.

“Program-program yang dibuat juga kita mahu berkualiti antarabangsa dan dapat dijual dengan harga yang lebih tinggi, supaya memberi pulangan yang lumayan kepada para penganjur kemudian hari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Peluncuran Program Istana Budaya 2026 di Istana Budaya, di sini, hari ini.

Istana Budaya sebelum ini ditutup lebih dua tahun bermula Januari 2024 bagi membolehkan kerja pembaikan dan naik taraf bumbung dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Pembukaan semula itu turut memperkukuh kedudukan Istana Budaya sebagai Panggung Negara, selain memperluas akses masyarakat kepada kepelbagaian seni persembahan tempatan dan antarabangsa.

Majlis hari ini turut menyaksikan peluncuran lima program terbitan Istana Budaya serta rangkaian persembahan oleh syarikat dan produksi luar sepanjang tahun.

Antara program dijadualkan ialah Nuansa Urban Rohani 2026, Laman Santai Seni Budaya: Pesona Malaysia, NSO bersama Aubrey Suwito “Pop & Simfoni” dan Teater Muzikal Pengembaraan Sang Kancil.

Panggung Sari turut bakal menampilkan Teater Muzikal Mansur & Liu, Konsert Rindu Sumayyah Hijjaz 3 Dekad, Festival Filem Malaysia Ke-35, Magnum Opus M. Nasir Dekad Ke-5 dan Teater Legenda Puteri Santubong.

Datuk Shaharuddin berkata, fasiliti yang lebih baik serta pengisian program berkualiti mampu menjadikan Istana Budaya pemangkin pembangunan industri kreatif dan menyokong Kempen Melawat Malaysia 2026 dan 2027.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.