Juara dunia dua kali Bagnaia tinggalkan Ducati hujung musim ini

Bagnaia bakal sertai Aprilia selepas tinggalkan Ducati/Foto AFP

MILAN, 24 Jun – Juara dunia MotoGP dua kali, Francesco Bagnaia akan meninggalkan pasukan Ducati pada penghujung musim ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bagnaia dilaporkan akan sertai Aprilia pada 2027 dan bergandingan dengan pemimpin kejuaraan semasa, Marco Bezzecchi.
  • Beliau menjulang gelaran dunia MotoGP pada 2022 dan 2023, menamatkan penantian 15 tahun Ducati.
  • Prestasinya merosot; musim lalu kelima dan kini ketujuh, hanya satu kemenangan musim ini.

Demikian diumumkan pengeluar motosikal Itali itu hari ini.

Pelumba berusia 29 tahun itu dilaporkan bakal menyertai pasukan Aprilia bagi musim 2027, sekali gus bergandingan dengan pendahulu kejuaraan semasa, Marco Bezzecchi.

Ketua Pegawai Eksekutif Ducati, Claudio Domenicali menyifatkan Bagnaia sebagai antara individu yang memainkan peranan penting dalam sejarah kejayaan pasukan tersebut.

“Pecco telah menulis sebahagian penting dalam sejarah sukan Ducati. Dia membesar bersama kami, percaya kepada projek ini dan bersama pasukan telah membantu membawa jentera Desmosedici GP kembali ke puncak MotoGP,” katanya.

Bagnaia menjulang gelaran dunia MotoGP bersama Ducati pada 2022 dan 2023, dengan kejuaraan pertamanya menamatkan penantian 15 tahun Ducati untuk meraih gelaran juara dunia kategori utama itu.

Beliau hampir melengkapkan hatrik kejuaraan pada 2024 namun terlepas gelaran selepas menamatkan musim hanya 10 mata di belakang Jorge Martin.

Bagaimanapun, prestasinya mula merosot selepas itu apabila menamatkan musim lalu di kedudukan kelima, ketinggalan 257 mata di belakang juara dunia dan rakan sepasukan, Marc Marquez.

Musim ini, Bagnaia berada di tangga ketujuh kedudukan pelumba selepas hanya meraih satu kemenangan setakat ini, iaitu dalam perlumbaan pecut Grand Prix Czech Sabtu lalu.

Pada Selasa, Ducati mengumumkan Marc Marquez akan terus bersama pasukan kilang itu selepas menandatangani kontrak baharu selama dua musim lagi.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.